KPWKM perlu pinda Akta OKU, Akta Pusat Jagaan
KUALA LUMPUR - Senator Datuk Ras Adiba Radzi pada Isnin meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) agar segera membuat pindaan terhadap Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 dan Akta Pusat Jagaan 1993.
Ras Adiba, yang mewakili komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) di Dewan Negara berkata, kementerian itu harus bertindak proaktif dalam menangani isu penderaan terhadap kanak-kanak OKU supaya ia tidak berulang.
"Saya berharap isu penderaan kanak-kanak terutamanya OKU diangkat ke Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Wanita dan Kanak-kanak Parlimen Malaysia.
"Hukuman setimpal mesti dikenakan terhadap pesalahan tanpa melihat status seseorang itu yang melanggar hak OKU. Saya juga memohon Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menutup pusat-pusat jagaan kanak-kanak, OKU dan warga emas yang tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, Presiden OKU Sentral itu juga berkata, beliau telah hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Isnin bagi memberikan sokongan kepada remaja perempuan sindrom down yang dikenali sebagai Bella dalam prosiding kes pengasas Rumah Bonda yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja berusia 13 tahun itu.
"Saya berharap agar adik Bella mendapat keadilan yang sewajarnya mengikut lunas undang-undang dan menyeru agar semua masyarakat terus memberikan sokongan kepada adik Bella," katanya.
Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini antara Februari dan Jun 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!