Pelajar berarak bantah lanjut tempoh pentadbiran Presiden Indonesia
JAKARTA - Ribuan pelajar berarak di perkarangan Parlimen di Jakarta bagi membantah kenaikan minyak masak dan cadangan melanjutkan tempoh lebih lama pentadbiran Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi.
Demonstrasi berlaku di beberapa bahagian di Indonesia termasuk Sulawesi Selatan, Jawa Barat dan ibu negara Indonesia, Jakarta di mana ratusan pelajar memakai jaket neon serta berarak menuju Parlimen untuk membantah kenaikan harga barangan dan kemungkinan Jokowi untuk mentadbir melebihi dua penggal yang ditetapkan.
Idea mengenai lanjutan penggal Jokowi sama ada menerusi pindaan perlembagaan atau menangguhkan pilihan raya 2024, mendapat momentum sejak kebelakangan ini di negara demokrasi ketiga terbesar di dunia selepas beberapa tokoh politik berpengaruh menyokongnya.
Namun pada Ahad, untuk kali kedua daam masa kurang seminggu, Jokowi, 60, menggesa menteri dan ketua keselamatan menghentikan perbincangan mengenai isu itu dan berkata bahawa pilihan raya akan diadakan pada Februari 2024, seperti yang dirancang.
"Jangan sampai timbul spekulasi dalam kalangan orang awam bahawa kerajaan cuba untuk menangguhkan pilihan raya atau lanjutan penggal presiden atau apa-apa berkaitan dengan penggal ketiga," katanya pada mesyuarat.
Cadangan untuk membenarkan lebih daripada maksimum dua, lima penggal sebagai presiden telah mencetuskan kebimbangan mengenai ancaman reformasi demokrasi.
Secara amnya, pelajar merupakan barisan hadapan dalam usaha untuk melindungi demokrasi negara itu selepas melakukan tunjuk perasaan pada 1998 semasa membantu menjatuhkan bekas Presiden Suharto. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!