Bekas penasihat Axis dipenjara, denda kemuka tuntutan palsu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin menyabitkan Lee Koon Huat, bekas Penasihat Lembaga Pengarah Axis Incorporation Bhd (Axis) kerana bersubahat dengan syarikat itu dalam mengemukakan penyata kewangan palsu dalam semua laporan suku tahun Axis bagi tahun kewangan 2007.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, Koon Huat dikenakan pertuduhan pada 26 Mac 2013 dengan empat pertuduhan di bawah seksyen 122C(c) dibaca bersama Seksyen 122B(a)(bb) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (SIA).

"Bukti menunjukkan bahawa beliau telah memberi arahan untuk meningkatkan hasil pendapatan Axis dalam laporan suku tahunannya yang tidak diaudit pada tahun 2007," kata SC.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Tuan Azman Ahmad, menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda sebanyak RM200,000 bagi setiap pertuduhan (jika gagal bayar, enam bulan penjara).

Mahkamah turut memerintahkan agar hukuman penjara itu dijalankan serentak.

Pada 2013, SC juga telah mengenakan pertuduhan ke atas bekas pengarah eksekutif Axis, Lee Han Boon, Saipuddin Lim Bin Abdullah dan Koh Tee Jin, masing-masing dengan lima pertuduhan kerana mengemukakan penyata kewangan palsu berhubung hasil Axis bagi tahun kewangan 2007 dan 2008.

Kesemua Han Boon, Saipuddin dan Tee Jin mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara antara satu hari hingga 12 bulan dan masing-masing didenda RM200,000. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!