Jangan sampai pengundi merajuk
WALAU apa pun yang berlaku Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti mesti diluluskan dengan segera dan dikuatkuasakan.
Ini kerana peristiwa pahit yang dilalui negara ini berpunca daripada Langkah Sheraton perlu ada suatu penyelesaian agar ia tidak berlaku lagi pada masa depan.
Seramai 39 orang ahli Parlimen telah mengambil tindakan untuk melompat parti menyebabkan berlaku pertukaran kerajaan yang telah dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
Negara juga telah mendapat tiga orang Perdana Menteri dalam tempoh tiga tahun ini dan berlaku sebanyak 15 Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN). Ini semua memang tidak baik untuk negara ini.
Dengan pandemik Covid-19 yang kini dalam fasa peralihan menjadi endemik, ekonomi negara mula menunjukkan pemulihan.
Perniagaan kini semakin baik malah di Bazar Aidilfitri Lorong Tuanku Abdul Rahman, ada peniaga beritahu keuntungan yang mereka peroleh beberapa jam pada Sabtu lalu adalah bersamaan dengan berniaga selama tiga hari pada tahun lalu. Jadi lebih banyak perkara baik dan positif yang akan berlaku pada masa depan.
Justeru, dengan pemulihan terhadap ekonomi dan kehidupan rakyat, kita juga berharap agar kemelut politik negara juga akan pulih semula dan kembali kepada fokus asal. Walaupun umum mengetahui bahawa situasi politik negara tidak pernah aman sejak dua dekad lalu.
Namun PRU14 adalah kemuncak kepada krisis politik negara apabila Barisan Nasional (BN) tumbang.
Dengan kegagalan Pakatan Harapan (PH) mengemudi negara dengan baik. Cita-cita reformasi mereka terkubur.
Rakyat pula sudah muak dan jelak dengan perangai ahli-ahli politik yang lebih mementingkan diri semata-mata berbanding kepentingan rakyat.
Natijahnya, rakyat tidak turun mengundi dalam beberapa siri PRK dan PRN yang diadakan. Ini jelas menunjukkan sikap sebenar pengundi yang tidak melihat kepentingan pilihan raya itu diadakan.
Oleh yang demikian, RUU Anti Lompat Parti perlu direalisasikan agar pengundi tidak lagi merajuk dan enggan mengundi dalam pilihan raya akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!