Polis sita aset RM4.3 juta hasil kegiatan pengedaran dadah

Datuk Rohaimi Md Isa
Datuk Rohaimi Md Isa
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu menyita aset bernilai RM4.3 juta yang disyaki mempunyai kaitan dengan hasil kegiatan pengedaran dadah di negeri itu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, kesemua aset berkenaan disita bawah Seksyen 28 (1) Akta Dadah Berbahaya 1988.

Menurutnya, aset ini dikesan berikutan tangkapan dua suspek pengedar dadah yang ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 2020.

"Kedua-dua suspek ditahan berhubung rampasan dadah disyaki jenis ganja seberat 541.18 gram dan dadah jenis syabu seberat 46.70 gram," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Rohaimi berkata, kesemua aset yang disita merupakan nilai sitaan harta terbesar melibatkan pengedar dadah di Terengganu setakat ini.

Beliau berkata, antara yang disita adalah tujuh hartanah melibatkan satu lot tanah berkeluasan 159 meter persegi di Kemaman dengan anggaran nilai RM160,000; satu lot tanah (3.2970 hektar) di Dungun dengan nilai RM750,000 dan satu lot tanah 15,460 meter persegi di Batu Rakit, Kuala Nerus dengan nilai RM1.1 juta.

Katanya, turut disita satu lot tanah berkeluasan 9,105 meter persegi di Batu Rakit Kuala Nerus bersama 10 buah chalet dibina di atas tanah yang sama dengan anggaran nilai RM900,000.

"Tiga hartanah lain yang turut disita ialah satu lot tanah berkeluasan 7,107 meter persegi di Batu Rakit, Kuala Nerus dengan anggaran nilai RM700,000; satu lot tanah 532 meter persegi di Kuala Nerus dengan nilai RM580,000 serta satu lot tanah berkeluasan 544 meter persegi di Marang dengan anggaran nilai RM100,000," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rohaimi berkata, kesemua aset dikesan hasil siasatan bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu melalui penjejakan harta (asset tracing) oleh bank dan institusi kewangan.

"Siasatan lanjut berjaya menemui pemilikan tujuh harta tak alih oleh orang kenaan yang diperoleh melalui pembelian meragukan.

"Polis Terengganu di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan meneruskan penyiasatan (asset tracing) ke atas semua sekutu pengedar dadah dan memastikan kesemua aset-aset ini dilucuthak kepada kerajaan Malaysia," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!