Dua penunggang motosikal cedera dilanggar kereta lawan arus

Suspek dirakam memandu secara melawan arus oleh pengguna jalan raya yang lain.
Suspek dirakam memandu secara melawan arus oleh pengguna jalan raya yang lain.
A
A
A

KUALA LANGAT - Dua penunggang motosikal mengalami kecederaan akibat dilanggar sebuah Perodua Bezza yang dipandu melawan arus dalam dua kejadian berasingan di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) menghala Bandar Saujana Putra di sini pada Isnin.

Kejadian tersebut turut tular di media sosial selepas satu klip video berdurasi dua minit 30 saat yang memaparkan suspek sedang memandu melawan arus dan bertembung dengan sebuah motosikal, dimuat naik seorang pengguna Facebook.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, kemalangan pertama berlaku sekitar jam 2.49 petang melibatkan sebuah motosikal jenis Honda Dash, berhampiran hentian Rehat dan Rawat (RNR) Tanjung 12, di sini.

"Semasa penunggang motosikal sedang bergerak lurus, tiba-tiba terlihat Perodua Bezza berhenti di lorong kecemasan menyebabkan penunggang Honda Dash itu terus berhenti di hadapan kereta terbabit. Tiba-tiba kereta itu bergerak lalu melanggar sisi bahagian hadapan motosikal sehingga penunggang terjatuh dan mengalami kecederaan ringan.

"Perodua Bezza itu terus bergerak melawan arus di lorong kecemasan dan apabila sampai di Kilometer 30.1 Lebuhraya SKVE, dia telah melanggar sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 yang sedang bergerak dari arah Banting menghala ke Bandar Saujana Putra," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Keadaan motosikal Yamaha LC135 yang bertembung dengan kenderaan suspek.
Keadaan motosikal Yamaha LC135 yang bertembung dengan kenderaan suspek.

Beliau berkata, akibat pelanggaran tersebut, pemandu kereta mengalami kecederaan di bahagian kepala, manakala penunggang motosikal cedera di bahagian tangan dan kaki akibat tercampak ke atas permukaan jalan.

Menurutnya, kesemua mangsa dan pemandu kereta terbabit dibawa ke Hospital Banting di sini untuk menerima rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Ridhwan berkata, polis menahan pemandu Perodua Bezza tersebut, tetapi suspek tidak direman berikutan sedang menerima rawatan di wad akibat kecederaan dialami.

Suspek mengalami kecederaan di bahagian kepala dibawa ke Hospital Banting untuk menerima rawatan.
Suspek mengalami kecederaan di bahagian kepala dibawa ke Hospital Banting untuk menerima rawatan.

"Suspek seorang lelaki tempatan ditangkap di hospital selepas dibawa dengan ambulans dari tempat kemalangan jam 4 petang Isnin. Dia ditahan di wad kerana cedera di kepala.

"Pihak polis turut mengambil sampel darah suspek untuk analisis kandungan dadah dan alkohol," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!