Terengganu sasar kutip lebih 56 pingat emas Sukma 2022
TERENGGANU menyasarkan lebih 56 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur 2022 yang bakal berlangsung dari 29 September hingga 8 Oktober depan.
Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, dengan sasaran tersebut, Terengganu yakin mampu mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya pada edisi Sukma Perak 2018.
Beliau berkata, berdasarkan perkembangan serta prestasi semasa 641 atlet yang bakal bertanding, Terengganu dilihat mempunyai peluang cerah untuk terus merangkul kejuaraan sekali gus meneruskan penguasaan sebagai kuasa sukan terbesar di negara ini.
"Kita ada masa dalam 170 hari lagi sebelum tarikh pertandingan sebenar. Atlet kita sudah siap siaga dan sedang jalani latihan semaksimum mungkin dalam rutin yang sudah masuk peringkat akhir.
"Selain itu, kita sudah atur beberapa strategi tambahan bagi memperkasa kategori sukan yang mampu memberi pulangan emas di kejohanan itu nanti," katanya selepas Program Iftar dan Agihan Duit Raya Atlet Sukma di Stadium Tertutup Gong Badak di sini malam Isnin.
Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Shahrizal Yahya.Pada 2018, skuad Hanelang Terengganu berjaya muncul juara Sukma buat kali kelima dengan kutipan 56 pingat emas, 51 perak dan 53 gangsa.
Menurut Wan Sukairi, skuad Sukma Terengganu akan mengambil bahagian dalam 31 acara, iaitu hampir kesemua acara yang dipertandingkan dalam Sukma 2022.
"Kita akan ambil bahagian dalam 31 acara dengan sandaran emas pada sukan seperti basikal, hoki, kapal layar, silat, muay thai dan badminton yang kita percaya akan beri kejutan.
"Bagaimanapun ada beberapa acara seperti gimnastik artistik wanita, bola tampar dan kriket yang kita tidak menghantar wakil kerana faktor pemakaian yang tidak selari dengan dasar kerajaan negeri serta tidak menepati standard prestasi yang ditetapkan MSNT," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!