Mohd Tarmizi sudah dibenar keluar hospital
KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia, Mohd Tarmizi Shuib, 42, yang cedera ditembak dalam serangan pengganas di Christchurch, New Zealand 15 Mac lepas, telah dibenarkan keluar dari hospital semalam.
Perkembangan itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, hari ini.
"Tarmizi sudah berada di rumah (New Zealand) dan masih bertongkat kerana ada serpihan peluru di punggungnya," katanya kepada media selepas Perhimpunan Solidariti Kedamaian di Dataran Merdeka, hari ini.
Mujahid tiba di tanah air pada jam 5 pagi tadi selepas berada di New Zealand untuk menziarahi rakyat Malaysia yang terlibat dalam kejadian itu.
Mohd Tarmizi adalah antara tiga rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian berdarah di dua masjid di Christchurch yang mengorbankan 50 nyawa, termasuk anaknya Muhamad Haziq, 17.
Mengulas lanjut, Mujahid berkata Mohd Nazril Hisham Omar, 46, yang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Christchurch juga sudah dipindahkan ke wad biasa.
"Nazrul di wad biasa dan boleh duduk, namun perlu rawatan susulan berikutan masih ada serpihan peluru di kaki.
"Rahimi (Rahimi Ahmad, 39) pula baru buka life support (alat bantuan pernafasan), sebab boleh bernafas sendiri dan bercakap," katanya.
Mujahid berkata kesemua mangsa turut mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mendoakan keadaan mereka di sana.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!