Ibu bimbang, anak sulung hilang sejak Sabtu

Zarina turut membuat hebahan berhubung kehilangan Mohammad Alif di Facebook. - Foto Facebook
Zarina turut membuat hebahan berhubung kehilangan Mohammad Alif di Facebook. - Foto Facebook
A
A
A

SEREMBAN - Seorang ibu bimbang keadaan keselamatan anak lelakinya Mohammad Alif Mohd Nizamshah Nortaraki, berusia 17 tahun yang hilang sejak sabtu lalu.

Zarina Ahmad, 36, berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu yang mempunyai masalah kemurungan dipercayai keluar seorang diri dengan berbasikal.

"Ketika kejadian dia bersama anak kedua saya berusia 14 tahun bermalam di rumah bapanya iaitu bekas suami saya di Taman Pinggiran Senawang, hanya selang lima lorong sahaja.

"Kehilangan Mohammad Alif disedari kira-kira jam 4.30 pagi oleh adiknya selepas mendapati dia tiada dalam bilik dan kami memaklumkan perkara itu kepada bapanya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Bagaimanapun kata Zarina, kira-kira jam 12.30 malam Sabtu terdengar bunyi pagar rumahnya dibuka namun tidak mengesyaki berlaku sesuatu dan mereka sekeluarga yakin Mohammad Alif keluar rumah dengan basikal.

"Anak saya dikesan mempunyai masalah kemurungan sejak bulan lepas dan kini dalam rawatan susulan. Bagaimanapun sebelum kejadian dia tidak menunjukkan sebarang perlakuan yang mencurigakan selain bergilir-gilir bermalam di rumah saya dan bapanya.

"Hari ini masuk hari keempat dia gagal dikesan dan saya sudah cuba menghubungi telefon bimbitnya namun selain berusaha mencari di banyak tempat," katanya.

Menurut Zarina, kejadian itu pertama kali berlaku dan satu laporan polis telah dibuat pada Ahad jam 1.18 pagi di Balai Polis Senawang selain meminta kerjasama orang ramai untuk membantu mengesan anaknya.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga kini masih tiada khabar berita daripadanya dan sesiapa yang mempunyai maklumat boleh segera menghubungi saya di talian 0107898682 atau 0103423266 atau melaporkannya di balai polis terdekat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!