Polis cekup dua lelaki curi besi
SUBANG JAYA - Polis menahan dua lelaki yang disyaki mencuri besi di Taman Pinggiran USJ 1 Subang Jaya di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman, pihaknya telah menerima maklumat berkaitan kes tersebut pada jam 10.40 pagi.
"Sepasukan anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) telah pergi ke tempat kejadian, setibanya di lokasi kita mendapati kedua-dua suspek itu telah ditahan oleh orang awam.
"Kita kemudian telah membuat tangkapan semula dan merampas sebuah lori jenis Mitsubishi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Abd Khalid berkata, hasil semakan mendapati salah seorang suspek merupakan warga Myanmar.
"Kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Subang Jaya untuk tindakan lanjut," ujarnya.
Beliau berkata, hasil soal siasat, suspek membawa sepasukan anggota polis ke tempat dia meletakkan barangan yang dicuri di Kampung Simpang Balak, Kajang
"Hasil siasatan awal, kedua-dua suspek berusia 27 tahun dan 61 tahun itu bekerja sebagai pengutip besi, siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.
Abd Khalid berkata, kedua-dua suspek itu kini direman selama empat hari bermula Ahad hingga Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!