Empat waris mangsa kemalangan maut terima pencen seumur hidup Perkeso

Murni Nurhatikah menceritakan mengenai kemalangan maut melibatkan suaminya, Allahyarham Mohd Sahlan pada 4 April lepas semasa ditemui di rumah mentuanya di Kampung Losong Haji Mat Shafie pada Selasa. - Foto Bernama
Murni Nurhatikah menceritakan mengenai kemalangan maut melibatkan suaminya, Allahyarham Mohd Sahlan pada 4 April lepas semasa ditemui di rumah mentuanya di Kampung Losong Haji Mat Shafie pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Setelah dua tahun tiada sambutan hari raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19, ketibaan Aidilfitri kali ini tetap suram buat Murni Nurhatikah Abdullah dari Kampung Padang Mengkuang, Bukit Payong yang baru kehilangan suami.

Suaminya, Mohd Sahlan Mat Saat, 37, terkorban pada 4 April lepas, dalam kejadian melibatkan empat juruteknik syarikat swasta maut apabila van dinaiki mereka yang dalam perjalanan dari Setiu ke Kuala Terengganu terlibat dalam kemalangan di Kampung Sungai Ikan di Kuala Nerus.

Menurut wanita berusia 29 tahun itu, lebih memilukan, tragedi berkenaan berlaku di saat dirinya sedang hamil anak kedua dan tiada sebarang persiapan dibuat bagi menyambut ketibaan Syawal kali ini memandangkan dirinya masih bersedih dan berkabung atas pemergian suaminya.

Murni Nurhatikah adalah seorang daripada empat waris yang menerima sumbangan dan pencen bulanan seumur hidup disampaikan oleh Pertubuhan Keselamatan Pekerja (Perkeso) di Kampung Losong Haji Mat Shafie di sini pada Selasa.

Menurutnya, selain pencen seumur hidup, anak-anaknya termasuk yang masih dalam kandungan akan menikmati pembiayaan pelajaran sehingga peringkat ijazah sarjana muda.

Seorang lagi penerima pencen bulanan seumur hidup, Maimun Mohamad, 60, berkata, dia amat terharu dan berterima kasih kepada pihak Perkeso kerana menyampaikan bantuan kepada keluarganya dengan kadar segera.

Maimun berkata, anak lelakinya, Allahyarham Khairol Arman Kamrudin, 32, yang terlibat dalam kemalangan sama adalah tulang belakang keluarga.

"Pada mulanya makcik buntu juga memikirkan kehidupan selepas ini kerana dia yang menanggung makan pakai makcik serta abangnya yang juga orang kurang upaya (OKU) selama ini, tapi dengan wang pencen setiap bulan, bolehlah menampung kehidupan kami dua beranak," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perkeso Terengganu, Faridah Che Husin berkata, pihaknya turut menyampaikan sumbangan kepada dua lagi waris mangsa kemalangan yang terlibat dalam kemalangan sama pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bermula Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak RM5.8 juta faedah telah dibayar kepada 4,051 penerima yang layak dalam pelbagai kategori. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!