Lompat bukan atas semangat berprinsip, sebaliknya pengkhianat
SHAH ALAM - UMNO menyifatkan ucapan yang disampaikan Ahli Dewan termasuk Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mesyuarat Khas Parlimen pada Isnin berhubung isu lompat parti hanyalah bersifat tabir asap untuk mengalih perhatian daripada isu sebenar.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan mendakwa, rata-rata ahli Parlimen yang melompat setelah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bukannya lompat atas semangat ‘berprinsip’, sebaliknya ‘pengkhianat’.
“Mustahil sebelum 9 Mei 2018, mereka percaya perjuangan parti tetapi pada 10 Mei 2018 terus was-was. Bukan juga mereka dipecat dan dipaksa pilih rumah lainpi tetapi semata-mata tak sanggup jadi YB pembangkang.
“Atau 'pujukan' pihak tertentu terlalu menarik buat mereka sehingga sanggup melompat beramai-ramai dan lebih teruk, menarik sebahagian kecil penyokong bersama.
“Justeru, fenomena ini lah yang menjadi punca orang ramai bercakap tentang anti lompat parti sehingga menyebabkan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti ini mahu dibentangkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya pada Selasa.
Pada Isnin, Muhyiddin tidak bersetuju seorang ahli Parlimen yang dipecat daripada parti atau meninggalkan parti atas sebab-sebab tertentu perlu mengosongkan kerusinya.
Menurutnya, terdapat banyak sebab seseorang ahli Parlimen meninggalkan parti seperti melanggar disiplin atau menyatakan sesuatu yang haq (kebenaran), namun tidak disenangi pemimpin parti.
Mengulas lanjut, Shahril turut beranggapan kekhuatiran yang diutarakan dalam perbahasan di Parlimen pada Isnin juga dianggap diluar konteks sebenar yang telah berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan.
“Supaya tidak salah faham, ya, diakui dan diterima. Kita hendak menjamin suatu undang-undang dan pindaan Perlembagaan yang adil dan bertahan untuk suatu jangka yang lama. Suatu perundangan yang mengambil kira semua sudut melangkaui konteks hari ini.
“Maka eloklah diperhalusi di peringkat Jawatankuasa Khas. Kemudian bawa lah ke Dewan kelak dengan draf lengkap yang boleh dijayakan secara bersama,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!