Kerajaan Pulau Pinang perlu agresif tangani pencemaran sungai

Isu pencemaran Sungai Pinang telah lama berlaku sejak puluhan tahun lalu.
Isu pencemaran Sungai Pinang telah lama berlaku sejak puluhan tahun lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang digesa lebih agresif dalam melaksanakan pelan tindakan dalam menangani masalah pencemaran Sungai Pinang.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman berkata, isu pencemaran di sungai tersebut telah lama berlaku sejak puluhan tahun lalu.

Menurutnya, masalah itu dilihat berpunca daripada kekurangan tindakan penguatkuasaan yang agresif oleh pihak kerajaan.

"Dalam laporan media semalam (Isnin), Exco Kerajaan Pulau Pinang mengatakan masalah pencemaran itu boleh dikaitkan dengan sikap orang ramai yang terus membuang sampah secara sewenang-wenangnya. Kita sering mengaitkan pembuangan sampah dengan tingkah laku tetapi kita perlu mengetahui mengapa mereka berbuat demikian.

"Adakah ini soal kekurangan pendidikan, sikap acuh tak acuh atau berpunca daripada masalah pengurusan sisa pepejal serta infrastruktur yang tidak mencukupi?

"Dasar Pengasingan Sisa di Punca Pulau Pinang 2016 telah dikuatkuasakan sejak Jun 2017. Mengapakah rakyat tidak mematuhi peraturan di bawah Akta Kerajaan Tempatan ini yang mana mereka dikehendaki mengasingkan sisa kepada dua jenis, bahan kitar semula dan sisa am sebelum ia dipungut oleh kontraktor pihak berkuasa tempatan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan sebanyak 1 tan sampah dikutip di log boom yang dipasang di Sungai Pinang di sini setiap hari oleh pekerja pembersihan yang ditugaskan.

Antara barangan yang dikutip adalah katil, peti ais,sofa, plastik pembungkus makanan, pekakas plastik dan botol minuman.

Artikel Berkaitan:

Akibat daripada perbuatan oleh masyarakat tidak bertanggungjawab itu, sungai tersebut pernah disenaraikan sebagai 10 sungai terkotor di Malaysia.

Meenakshi menambah, pihaknya yakin masalah pembuangan sampah dapat ditangani dengan beberapa faktor antaranya pendidikan; perancangan pengurusan sisa yang berkesan; kemudahan bagi pengumpulan sisa besar atau pukal, pelaksanaan yang cekap dan penguatkuasaan yang ketat.

Katanya, antara rancangan kerajaan negeri untuk menangani pencemaran Sungai Pinang adalah membina longkang selari yang akan memerangkap sampah daripada dihanyutkan ke sungai tersebut.

"Langkah ini dan pembersihan sungai boleh membantu mengurangkan jumlah sisa tetapi pencemaran sungai masih akan berlaku jika kita tidak menghentikan pencemaran di puncanya.

"Sisa pepejal dalam bentuk sisa besar dan sampah di sungai adalah mudah dilihat. Bagaimana pula dengan bahan pencemar lain seperti sisa organik, kumbahan, bahan kimia dan mikroplastik?

"Kita semua sedar akan akibat pencemaran sungai. Oleh demikian, kita mesti mengambil langkah untuk menangani pencemaran dengan berkesan," katanya.

Tambahnya, adalah penting untuk memahami punca pencemaran Sungai Pinang bagi beberapa usaha dapat dijalankan.

"Sejak beberapa dekad lalu Kerajaan Pulau Pinang telah mengenalpasti punca pencemaran di Lembangan Sungai Pinang dan menyusun strategi untuk menangani masalah pencemaran termasuk pendidikan alam sekitar.

"Sudah tiba masanya kerajaan mula melaksanakan pelan tindakan ini secara agresif," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!