BAM belum ada pengganti Flandy

Flandy (tengah) menjadi arkitek di sebalik kejayaan gandingan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik meraih pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun lalu.
Flandy (tengah) menjadi arkitek di sebalik kejayaan gandingan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik meraih pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun lalu.
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) masih belum dapat memutuskan individu yang bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas ketua jurulatih beregu lelaki, Flandy Limpele.

Justeru, Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky menjelaskan, barisan pemain beregu akan terus dibimbing jurulatih sedia ada bagi menghadapi Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022 di Manila, Filipina dari 26 April hingga 1 Mei.

Malah, Rexy tidak menolak kemungkinan anak-anak buahnya akan 'berguru' dengan jurulatih yang ada ketika ini sebagai persiapan mengharungi kempen Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand dari 8 hingga 15 Mei depan.

“Dengan waktu yang agak suntuk dan BAC yang pula makin hampir, kita akan fokus dengan apa yang ada di sini.

“Andai kata ambil jurulatih baharu, kita perlu lihat sama ada mereka sudah cukup sedia dengan perancangan kita atau sebaliknya," katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Selasa.

Sebelum ini, BAM mengumumkan bahawa Flandy bakal meninggalkan badan induk itu selepas beliau memutuskan untuk tidak menyambung kontrak baharu.

Mengenai status terkini ketua jurulatih beregu campuran, Paulus Firman yang kontraknya akan tamat pada hujung bulan ini, Rexy berkata, pihaknya masih belum menerima kata putus daripada jurulatih kelahiran Indonesia itu meskipun tawaran lanjutan kontrak baharu telah diberikan sejak awal tahun ini.

“Sekarang kita masih tetap berbicara dengan Paulus... kita sudah tawar (kontrak) dari Januari dan ia bukan tawaran minit akhir kerana kita perlu uruskan permit kerjanya.

Artikel Berkaitan:

“Jadi ia terpulang kepada Paulus sendiri sama ada mahu terima atau tidak lanjutan kontrak yang telah diberikan,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!