Warga Thai dicekup lepas sejam ambil bekalan pil kuda
RANTAU PANJANG - Baru sejam menerima bekalan 39,000 pil kuda dari Thailand, seorang lelaki warga negara itu ditahan polis di tepi Masjid Ar Raudhah Mukim Lubok Gong, Rantau Panjang, di sini, pada Isnin.
Suspek berusia 35 tahun ditahan dalam serbuan Op Tapis oleh pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan pada jam 6.30 petang.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, polis sebelum itu melihat lelaki tersebut dalam keadaan mencurigakan sedang berdiri di tepi Masjid Ar Raudhah, Lubok Gong Rantau Panjang, di sini.
“Suspek memegang satu beg plastik dan polis menghampiri lelaki tersebut serta memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa polis.
“Secara tiba-tiba lelaki itu cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan setelah berlaku pergelutan,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, pemeriksaan ke atas beg plastik lutsinar yang dirampas menjumpai pil dipercayai dadah berjumlah 36,000 biji yang dianggarkan bernilai RM360,000.
“Hasil soal siasat, suspek mengaku kesemua dadah tersebut adalah miliknya yang didapati daripada seorang lelaki warga Thailand dipanggil ‘Abe’ di Kampung Bukit Tambon Narathiwat, Thailand.
“Suspek mendapat bekalan dadah daripada ‘Abe’ di Thailand pada jam 5.30 petang, sejam sebelum ditahan,” katanya.
Ujarnya, ujian saringan urin suspek didapati negatif dadah dan tidak mempunyai rekod lampau.
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!