PM beri respons positif industri ganja untuk tujuan perubatan

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberikan respon positif terhadap industri ganja untuk tujuan perubatan dan akan dibincang serta diperhalusi dengan lebih teliti dalam mesyuarat kabinet.

Ia berikutan selepas Kaukus Medical Cannabis mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri pada Selasa bagi membincangkan isu-isu dasar berkaitan industri ganja untuk tujuan perubatan (medical cannabis) dan ketum untuk kegunaan di Malaysia.

Kaukus Medical Cannabis dalam satu kenyataan berkata, industri tersebut merupakan salah satu industri yang sedang giat dibangunkan oleh negara luar.

“Lebih 40 buah negara sudah membenarkan penggunaan kanabis untuk perubatan. Nilai pasaran industri ini cecah RM60 bilion, malah negara jiran seperti Thailand juga sedang mengkaji industri ini untuk negara mereka.

“Justeru, Kaukus Medical Cannabis percaya Malaysia mempunyai ruang dan peluang yang besar dalam industri ini untuk tujuan perubatan, penyelidikan dan mampu memberi manfaat besar kepada negara,” kata kenyataan itu pada Selasa.

Dalam pada itu, Kaukus Medical Cannabis turut membangkitkan isu berkaitan rakyat Malaysia yang didakwa di mahkamah dan disabitkan bersalah kerana penggunaan ganja untuk tujuan perubatan.

“Pandangan perundangan juga menjadi perhatian utama dalam pertemuan tersebut,” katanya.

Kaukus Medical Cannabis adalah jalinan kerjasama dwi partisan antara ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Artikel Berkaitan:

Antara yang hadir dalam pertemuan tersebut antaranya, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad.

Selain itu, Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar Arulanandam; Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ignatius Darell Leiking; Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen dan Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!