Warga emas hilang 15 jam cari daun palas ditemui selamat
SEKINCHAN - Seorang warga emas yang dilaporkan hilang lebih 15 jam di kawasan kebun Parit 9 Ban Canal di sini ditemui selamat pada Selasa.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysian (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, lelaki berusia 60-an itu disedari hilang kira-kira jam 7.30 petang ketika keluar mencari daun palas.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan berhubung kehilangan lelaki itu pada jam 9.24 pagi Selasa.
"Seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan dikejarkan ke lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Norazam berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan di sekitar kawasan kejadian dengan bantuan polis, Jabatan Perhutanan dan penduduk kampung.
Bagaimanapun katanya, mangsa kemudian ditemui kira-kira jam 2.55 petang selepas datang sendiri ke pos kawalan bomba.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati lelaki itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi sepenuhnya tamat pada jam 3.31 petang Selasa," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!