Tiada rundingan kes Nicky Liow: PDRM

Nicky Liow
Nicky Liow
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah membuat sebarang rundingan (plea bargain) dengan mana-mana pihak dalam siasatan kes berkaitan seorang ahli perniagaan Nicky Liow.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, tindakan siasatan yang diambil adalah telus mengikut lunas undang-undang dan tidak melindungi kepentingan mana-mana pihak.

"Arahan pertuduhan juga dilaksanakan seperti diarahkan oleh Pejabat Peguam Negara," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Kamarudin berkata, pada 15 Mac tahun lalu, PDRM telah memulakan siasatan terhadap penama Nicky Liow berkaitan penglibatannya dalam kes jenayah terancang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

"Hasil siasatan yang dijalankan, pada 20 Mac tahun lalu, sebanyak 68 serbuan telah dilaksanakan di Selangor bagi menahan Nicky Liow dan ahli kumpulannya.

"Seramai 116 individu telah ditahan dalam serbuan tersebut, bagaimanapun Nicky Liow melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, seramai 15 orang ahli kumpulan Nicky Liow telah dituduh di bawah Seksyen 130 V Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 9 April tahun lalu.

"Pada tarikh yang sama, Nicky Liow turut dituduh di bawah kesalahan yang sama secara 'in-absentia'," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Kamarudin
Mohd Kamarudin

Mohd Kamarudin berkata, pada 30 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah melepaskan tanpa membebaskan Nicky Liow bagi kes jenayah terancang SOSMA ekoran permohonan dari Pejabat Peguam Negara bagi menunggu siasatan melibatkan kesalahan pengubahan wang haram (AMLA) dilengkapkan.

"Seterusnya, pada 23 Februari lalu, peguam Nicky Liow telah memfailkan rayuan dan berjaya mendapat perintah dibebaskan dan dilepaskan.

"Pada 8 Mac lalu, Jabatan Peguam Negara telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan atas keputusan mahkamah tinggi Shah Alam yang membebaskan dan melepaskan Nicky Liow," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, Nicky Liow melalui peguamnya telah menghantar sepucuk surat kepada pihak polis dan menyatakan kesediaannya untuk menyerah diri.

"Pada 23 Mac lalu, sebanyak 26 pertuduhan difailkan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 ke atas Nicky Liow," katanya.

Beliau berkata, waran tangkap diperoleh bagi memastikan Nicky Liow tidak terlepas dari sebarang pertuduhan.

"Pada Isnin, Nicky Liow telah hadir untuk menyerah diri di pejabat (JSJK) Bukit Aman dan seterusnya ditahan," ujarnya.

Pada Selasa media melaporkan Nicky Liow Soon Hee atau dikenali sebagai Nicky Liow mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam di atas 26 pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram bernilai lebih 36 juta, bermula enam tahun lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!