Harimau Malaya asah taring berdepan Myanmar, Hong Kong
SKUAD Harimau Malaya menjadikan aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 berdepan Myanmar pada 27 Mei dan Hong Kong (1 Jun) sebagai medan persiapan bagi mengharungi pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2023.
Menurut ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, kedua-dua pasukan berkenaan dilihat sebagai lawan yang bersesuaian buat skuad kendaliannya itu menjelang aksi kelayakan sebenar yang dijadualkan berlangsung mulai 8 hingga 14 Jun depan.
Beliau berkata, pemain-pemain Harimau Malaya akan mula berkumpul bagi mengikuti kem latihan pusat pada 19 Mei depan sejurus berakhirnya perlawanan kesembilan bagi saingan Liga Super 2022 pada 18 Mei.
"Tempoh tiga minggu kem latihan pusat termasuk aksi pemanas badan menentang Myanmar dan Hong Kong diharap dapat memberikan peluang dan ruang buat barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya meningkatkan lagi tahap permainan, keserasian serta kombinasi pemain sebelum kita berdepan Turkmenistan, Bahrain dan Bangladesh.
"Dengan kesemua perlawanan ini akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, saya juga berharap kehadiran penyokong setia Harimau Malaya akan memberikan suntikan semangat buat pasukan kita tampil dengan aksi lebih bertenaga.
"Seterusnya, ia bakal menghasilkan keputusan positif serta kejayaan yang kita semua harapkan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Aksi Kumpulan E pada pusingan akhir kelayakan Kelayakan Piala Asia 2023 berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil mulai 8 hingga 14 Jun depan itu menyaksikan skuad Harimau Malaya bakal berdepan Turkmenistan pada 8 Jun, Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) dalam misi memburu slot layak ke Piala Asia 2023 kelak.
Untuk rekod, skuad negara bakal berdepan Myanmar yang berada pada ranking ke-152 dunia sebelum terbang ke Bishkek, Kyrgyzstan bagi saingan Kumpulan F yang turut menampilkan Tajikistan dan Singapura manakala Hong Kong yang menduduki ranking ke-147 dunia singgah ke Kuala Lumpur dalam perjalanan menuju ke Kolkata, India bagi aksi Kumpulan D melibatkan tuan rumah, India, Afghanistan dan Kemboja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!