Maszlee tanding Ketua Cabang Simpang Renggam
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik mengesahkan bertanding jawatan Ketua Cabang Simpang Renggam pada Pemilihan PKR 2022.
Bekas menteri pendidikan itu mengesahkan perkara itu dalam kiriman WhatsApp kepada Bernama malam ini.
"Ya saya akan bertanding Ketua Cabang Simpang Renggam,” katanya.
Maszlee menyertai semula PKR pada November tahun lepas.
Beliau pernah mendaftarkan diri sebagai ahli PKR pada 2017 di cabang Ampang.
Maszlee kemudian menganggotai Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan dilantik sebagai Menteri Pendidikan Kerajaan Pakatan Harapan namun dipecat dari parti itu pada Mei 2020 seterusnya memutuskan untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas.Terdahulu media melaporkan tiga selebriti tanah air turut mencuba nasib pada pemilihan kali ini antaranya pelakon dan produser Datuk Adflin Shauki yang menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Ketua Cabang Setiawangsa.
Proses Pemilihan PKR 2022 bermula Ahad lepas sehingga 11.59 malam ini bagi proses pencalonan peringkat cabang manakala pencalonan bagi jawatan tertinggi pusat dan sayap dilaksanakan semalam.
Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir pula mengesahkan beliau tidak mempertahankan jawatan disandangnya itu pada Pemilihan PKR 2022, sebaliknya memberi bayangan untuk bertanding bagi jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Ahli Parlimen Johor Bharu itu berkata, ketika ini beliau hanya mahu mempertahankan jawatan Ketua Cabang Johor Baharu.
"Tak pertahankan (jawatan Ketua AMK), saya dah habis penggal AMK. Ketika ini saya fokus pertahankan Ketua Cabang Johor Bharu. (Pencalonan jawatan ahli) MPP akan (saya) putuskan nanti,” katanya menerusi kiriman WhatsApp kepada Bernama malam ini.
Hari ini, Bernama melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti PKR (JPP), Dr Zaliha Mustafa mengesahkan hanya dua calon bertanding bagi jawatan Ketua AMK sehingga proses pencalonan ditutup tengah malam tadi.
Saingan jawatan itu menyaksikan dua bekas aktivis mahasiswa menawarkan diri iaitu Adam Adli Abdul Halim dan Fahmi Faizol.
Sebelum ini, PKR memutuskan pencalonan bagi pemilihan 20 Ahli MPP, Wanita dan AMK pada Kongres Nasional yang sepatutnya berlangsung semalam, ditangguhkan ke 28 Mei depan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!