Penyelesaian pertikaian Kashmir penting untuk capai keamanan

Shehbaz Sharif. - Foto Reuters
Shehbaz Sharif. - Foto Reuters
A
A
A

NEW DELHI - Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif pada Selasa berkata, penyelesaian pertikaian di Jammu dan Kashmir penting untuk mencapai keamanan.

Beliau memaklumkan, perkara itu kepada rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi.

Terdahulu, Shehbaz menerima perutusan tahniah daripada Modi sempena pelantikannya sebagai Perdana Menteri baharu Pakistan.

"Terima kasih Perdana Menteri Narendra Modi atas ucapan yang diberikan. Pakistan mahukan hubungan aman dan bekerjasama dengan India.

"Penyelesaian secara aman mengenai pertikaian yang masih belum selesai termasuk isu Jammu & Kashmir adalah amat diperlukan. Pengorbanan Pakistan dalam memerangi keganasan sangat dihargai. Mari kita capai keamanan dan fokus pada pembangunan sosioekonomi rakyat kita," kata Shehbaz.

Sementara itu, Modi berkata: "India inginkan keamanan dan kestabilan di rantau yang bebas daripada keganasan, supaya kita boleh memberi tumpuan kepada cabaran pembangunan negara dan memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat kita."

Pertikaian selama 75 tahun mengenai Jammu dan Kashmir terus menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara yang memiliki senjata nuklear itu.

Hubungan India dan Pakistan bertambah buruk sejak Ogos 2019, apabila India membatalkan status autonomi terhad Kashmir yang sudah berusia beberapa dekad. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!