IMC belum terima bukti dana pemilik baharu Perak FC

Barisan pemain yang memperkuat Perak FC musim ini.
Barisan pemain yang memperkuat Perak FC musim ini.
A
A
A

PEMILIK Perak FC, Impact Media & Communications (IMC) masih menunggu bukti dana (proof of funds) dan draf perjanjian (draft agreement) daripada syarikat JR Resources sebelum meneruskan proses penyerahan hak milik Perak FC.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah berkata, pihaknya belum menerima sebarang dokumen berkaitan untuk diserahkan kepada badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M), Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“Untuk makluman, JR Resources ini sebenarnya hanya merupakan syarikat tujuan khas (SPV), namun apa yang penting adalah individu-individu yang ada di belakang mereka.

“Semalam (Isnin), kami telah adakan perbincangan dengan wakil JR Resources dan kami sudah pun membincangkan terma-terma serta condition bagi melengkapkan proses penyerahan kelab.

“Bagaimanapun, setakat ini kami masih menunggu draf perjanjian dan juga bukti dana bagi meneruskan proses seterusnya daripada pihak JR Resources,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Sebelum ini, Sukan Sinar melaporkan IMC sedang mengadakan rundingan dengan pihak yang berminat untuk membeli saham dan memiliki Perak FC, namun sehingga hari ini pihak berkenaan belum menyerahkan bukti dana sebagaimana dikehendaki.

Mengulas lanjut, Muhammad Yunus berkata, bukti dana itu adalah keputusan daripada pihak MFL sebagai bukti bahawa syarikat yang mahu mengambil alih Perak FC memiliki kewangan yang kukuh.

“Pihak JR Resources telah meminta proses penyerahan Perak FC dibuat terlebih dahulu sebelum mereka menyerahkan bukti dana dan memasukkan wang ke dalam akaun.

Artikel Berkaitan:

“Ikutkan memang bukan begitu caranya kerana ia tidak mengikuti syarat daripada MFL yang mahu bukti dana dikemukakan dahulu. Tanpa bukti dana ini, penalti yang dikenakan kepada Perak FC akan tetap berjalan seperti pemotongan enam mata pada 14 April ini.

“Jadi, jika penyerahan Perak FC ini dapat dilakukan dalam masa terdekat, memang ada harapan untuk pembayaran gaji (pemain dan pegawai Perak FC),” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!