VAR tak selesai masalah

Subkhiddin
Subkhiddin
A
A
A

PENGGUNAAN teknologi video bantuan pengadil (VAR) dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) dilihat masih belum dapat menyelesaikan beberapa isu melibatkan keputusan kontroversi pengadil perlawanan.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh berkata, ada beberapa insiden yang sangat sukar untuk diputuskan pengadil biarpun telah berulang kali ulang tayang dilakukan.

“Terdapat salah faham apabila ramai yang berpendapat bahawa semua isu akan selesai dengan penggunaan VAR. Sebenarnya tidak kerana penggunaan VAR bertujuan membantu mengurangkan kesilapan jelas yang mungkin berlaku dalam sesuatu perlawanan.

“Sebagai contoh, berdasarkan kepada perkembangan semasa, beberapa insiden yang berlaku dalam Liga-M adalah sukar untuk diputuskan di atas padang oleh pengadil (on field decision).

“Ini mungkin berlaku disebabkan kesilapan pengadil yang tidak dapat berada di posisi yang sepatutnya ataupun situasi insiden itu sendiri yang menjadi sangat sukar dan hanya dapat dilihat melalui penggunaan teknologi,” katanya kepada Sukan Sinar.

Saingan Liga-M musim ini kembali mencetuskan kontroversi melibatkan keputusan pengadil sehingga timbul ‘usul’ daripada beberapa pihak yang menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) segera melaksanakan penggunaan VAR.

Bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Ridzuan Sheikh Ahmad antara individu yang meminta FAM menggunakan pakai teknologi VAR dalam usaha menambah baik mutu pengadilan Liga-M.

Mengulas lanjut, Subkhiddin yang juga bekas pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mendedahkan kos yang agak tinggi diperlukan FAM dalam usaha merealisasikan penggunaan VAR di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Sudah tentu apabila kita menggunakan teknologi VAR, per-belanjaannya cukup besar. Jadi kos yang tinggi itu pastinya menjadikan antara kekangan kepada FAM untuk melaksanakannya,” jelasnya.

Seorang lagi bekas pengadil FIFA, Amir Sharifuddin Wong pula menyifatkan penggunaan VAR dalam saingan Liga-M perlu diperhalusi sebaik-baiknya bagi mengelak sebarang isu lain timbul.

“Dalam soal VAR ini, saya berpendapat kita perlu tengok pembangunan pengadil itu sendiri. Adakah pengadil kita sudah bersedia untuk mengguna pakai teknologi VAR.

“Siapa yang akan tengok VAR? Bukankah pengadil yang sama akan tengok VAR. Jadi kalau concept, knowledge, experience semua sama, maka interpretation juga akan sama, mistake pun akan sama.

“Sebenarnya kita masih belum sampai ke peringkat itu, lagipun liputan televisyen di negara ini pun tak cukup untuk kita melaksanakan penggunaan VAR dalam Liga-M.

“Apa yang lebih penting ketika ini adalah pembangunan pengadil dan ia perlu dilakukan dengan baik bermula daripada peringkat permulaan sehinggalah pengadil berkenaan mahir,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!