Pelakon 'mat saleh' runsing cari tempat tinggal baharu
SEREMBAN - Pelakon yang biasa memegang watak lelaki Inggeris dalam filem dan drama tempatan, Johan Abdullah, 73, yang kini menderita penyakit parkinson dan angin ahmar runsing memikirkan tempat tinggal baharunya selepas ini.
Ini kerana rumah sewa yang didiami sejak tahun 2008 di Taman Mantau Indah di sini, akan dijual.
Isterinya, Sarepah Meriam Aboo, 49, berkata, mereka diberi tempoh tiga bulan oleh tuan rumah untuk mencari rumah baharu.
"Manalah kami nak tinggal selepas ini. Ada terfikir buat sementara waktu ini nak buat rumah kongsi di tanah lot milik saya di Kampung Gadong di sini.
"Susah juga dengan keadaan suami dan saya yang tak sihat. Saya pun dah minta dengan tuan rumah bagi tempoh masa hingga hujung tahun, tengoklah macam mana nanti, " katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menurutnya, mereka hilang sumber pendapatan sejak suaminya jatuh sakit pada awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua tahun lalu.
Jelas Sarepah, sebelum ini mereka meneruskan hidup dengan duit upah menulis dokumen kerajaan dan upah berlakon diterima suami selain turut dibantu anak-anak.
"Tapi bila suami sakit memang terputus langsung sumber pendapatan dan bila memikirkannya buat saya jadi sedih.
"Lagipun kami ada dua anak masih bersekolah yang perlu ditanggung berusia 11 dan enam tahun," katanya.
Oleh sebab itu, menjadi hasrat Johan untuk berlakon semula supaya dapat menampung hidupnya sekeluarga.
Kata Johan, dia rindu untuk berlakon semula tetapi dengan keadaan pergerakannya yang semakin terhad sekarang, mana mungkin dia diterima berlakon semula.
Apabila mengenang keadaan Johan membuatkan Sarepah sayu lebih-lebih lagi dengan keadaan dirinya juga yang tidak lagi sekuat dulu sejak diuji penyakit tiroid dan 'slipped disc'.
"Selagi ALLAH bagi saya kudrat untuk jaga suami, saya akan terus pikul tanggungjawab ini. Biarlah kami susah bersama.
"Cuma yang saya risau kalau keadaan kesihatan saya. Kalau saya kuat tidak mengapa, tapi sekarang saya pun tak sihat," kata Sarepah yang pernah menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!