Orang ramai yakini ubat Paxlovid
SHAH ALAM - Orang ramai berasa lebih berkeyakinan dan selamat untuk menghadapi pandemik Covid-19 dengan adanya ubat antiviral, Paxlovid di negara ini.
Mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Muhd Syukri Ridhwandy Rahip, 22 berkata, rakyat sudah tidak lagi takut dan lebih berani untuk hidup dengan virus Covid-19 di negara ini.
“Kita sudah mula memasuki fasa peralihan endemik, jadi dengan pengambilan vaksin dan dos penggalak serta dengan adanya ubat Paxlovid ini, ia memberi perlindungan yang lebih optimum kepada diri.
“Ini adalah salah satu langkah yang terbaik buat rakyat bagi mula menyesuaikan diri dengan norma baharu,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Pada Isnin, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, Syarikat farmaseutikal tempatan, Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd (Pharmaniaga) menerima 48,000 stok pil untuk rawatan Covid-19 keluaran Pfizer, Paxlovid.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ubat itu disyorkan untuk rawatan pesakit Covid-19 dewasa berumur 18 tahun dan ke atas yang tidak memerlukan terapi oksigen dan berisiko tinggi untuk mendapat gejala yang teruk.
Dr Noor Hisham sebelum itu pada 3 Mac lalu telah mengumumkan bahawa mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-37 telah meluluskan penggunaan pil tersebut secara pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana.
Dalam pada itu, Pembantu Penyelidik, Aziera Adnan, 26 berkata, selain vaksin, kewujudan ubat Paxlovid merupakan salah satu inisiatif yang sangat baik dalam usaha merencatkan jangkitan serta simptom wabak Covid-19.
“Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh populasi dunia sememangnya membimbangkan, apatah lagi virus ini dilihat semakin pintar dalam beradaptasi dan bermutasi yang meningkatkan kebolehjangkitan virus ini.
“Ubat dan vaksin adalah usaha masyarakat antarabangsa secara bersama, tetapi untuk menjaga nyawa, itu adalah pilihan kita,” ujarnya.
Selain itu, penganalisis dan perunding media, Hanafi Mohd Ali, 40 berkata, tidak ada sebab untuk rakyat menolak penggunaan ubat berkenaan sekiranya ia mampu menyembuhkan wabak dengan lebih cepat dan dapat mengurangkan kesannya selepas dijangkiti.
Tambahnya, kerajaan juga harus melaporkan jika ada kesan sampingan dan tahap keberkesanannya kepada umum serta panduan untuk mengambil ubat Paxlovid dari semasa ke semasa.
“Sebelum ini pun terdapat rakyat Malaysia menggunakan ubat seperti Ivermectin yang tidak disyorkan untuk mengatasi Covid-19 dan perubatan tradisional seperti herba-herba dan sebagainya, mengapa pula ubat yang digunakan khusus mengatasi penyakit ini harus ditolak?
“Kita mahu dan percaya Covid-19 ini akan menjadi seperti demam selesema biasa dan dengan penggunaan ubat ini, ia akan menjadi lebih cepat dan kita akan menjalankan kehidupan bebas seperti biasa,” katanya.
Dalam pada itu, peniaga, Nik Muhammad Farihan Nik Mohd Anuar, 27 berkata, masyarakat perlu diberikan pendedahan berterusan mengenai maklumat berhubung ubat Paxlovid dan kepentingannya dalam melawan virus Covid-19 itu supaya masyarakat menjadi lebih yakin dengan ubat tersebut.
“Pada pendapat saya dengan adanya ubat Paxlovid ini, tahap keyakinan masyarakat masih kurang. Ini kerana kurangnya pendedahan dan iklan tentang virus covid-19 itu sendiri.
“Media dilihat kurang memberi penerangan tentang bahayanya Covid-19 dan betapa pentingnya informasi Paxlovid dalam merawat wabak berkenaan di negara ini,” jelasnya.
Di samping itu, penjawat awam, Muhammad Shafiq Shahizan, 34 turut menyokong bahawa penerangan menyeluruh mengenai ubat Paxlovid itu perlu dibuat menggunakan semua platform media yang ada bagi memastikan rakyat dapat menerima ubat berkenaan.
“Untuk mengukur tahap keyakinan rakyat, perlu diperjelaskan dengan memberi penerangan secara menyeluruh berkenaan ubat ini dengan mengambil kira data kesan sampingan dan data keberkesanan ubat ini bagi meyakinkan rakyat.
“Sekiranya penerangan diberi secara menyeluruh, saya pasti rakyat boleh menerima ubat ini sebagai salah satu kaedah rawatan Covid-19,” ujarnya.
Selain daripada itu, pekerja swasta, Nur Hazwani Saiful Azli, 26, berpandangan bahawa ujian klinikal perlu dilakukan terlebih dahulu bagi melihat sejauh mana keberkesanannya terhadap setiap individu.
“Pada pandangan saya, saya kurang yakin mengenai pil Paxlovid dalam menghadapi situasi Covid-19 sekarang kerana masih ramai yang teragak-agak untuk mengambil vaksin penggalak di tambah pula dengan ubat Paxlovid yang masih baharu ini.
“Mungkin perlu lakukan ujian klinikal di Malaysia terlebih dahulu untuk kita lihat sejauh mana keberkesanannya terhadap setiap individu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!