Tiga remaja ditahan bantu siasatan kes curi motosikal
KAJANG - Tiga remaja lelaki bawah umur ditahan polis bagi membantu siasatan berkaitan kes curi motosikal di Bandar Tasik Kesuma Beranang di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kesemua suspek itu ditahan pada jam 2.50 pagi.
"Sepasukan anggota dari Balai Polis Beranang yang melakukan rondaan cegah jenayah terserempak dengan tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan bersama sebuah motosikal jenis Honda Ex5 berwarna merah yang tidak sempurna.
"Pemeriksaan lanjut mendapati motosikal berkenaan dilaporkan hilang di Beranang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohd Zaid berkata, kesemua suspek berkenaan ditahan bagi siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!