Tuchel kecewa sikap pengadil
PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel menyelar tindakan pengadil dari Poland Szymon Marciniak yang berkelakuan 'tidak baik' ketika pasukannya kalah secara agregat 5-4 kepada Real Madrid pada suku akhir Liga Juara-Juara awal pagi Rabu.
Jurulatih kelahiran Jerman itu mendakwa, dia melihat Marciniak berborak mesra dengan pengendali Real, Carlo Ancelotti selepas perlawanan berakhir sekali gus menimbulkan pertikaian mengenai beberapa keputusan yang dibuat pengadil itu pada perlawanan tersebut.
"Saya tahu dia (pengadil) seorang yang baik tetapi ketika saya nak mengucapkan terima kasih kepadanya, saya lihat dia senyum sambil gelak dengan kuat bersama jurulatih lawan.
"Saya rasa tindakan pengadil itu sememangnya salah, tatkala kami ketika itu sedang berjuang hingga tamatnya masa tambahan.
"Tindakan pengadil itu juga menimbulkan persoalan mengenai keputusan yang dibuat sebelum ini yang mana 51 peratus daripadanya tidak memihak kepada kami," katanya.
Pada perlawanan tersebut, Chelsea berjaya mengatasi defisit 3-1 dimiliki Madrid ketika aksi pertama tempoh hari, hasil jaringan Mason Mount, Antonio Rudiger dan Timo Werner yang meletakkan juara Eropah itu di ambang kemenangan.
Bagaimanapun, pemain tengah Real, Luka Modric berjaya membuat hantaran menarik kepada Rodrygo yang meledak voli bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Benzema sekali lagi muncul pemusnah apabila menanduk masuk gol kedua untuk agregat 3-2 yang membolehkan Madrid mara ke separuh akhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!