[VIDEO] Kerani langgar mati 8 remaja basikal lajak dipenjara 6 tahun
JOHOR BAHRU - Mahkamah Tinggi pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 terhadap seorang kerani atas kesalahan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, lima tahun lalu.
Ia sekaligus mengenepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober lalu yang mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan responden, Sam Ke Ting, 27 daripada tuduhan berkenaan.
Ke Ting, 27, turut diperintah menjalani hukuman enam bulan penjara jika tidak membayar denda selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun yang berkuat kuasa selepas selesai hukuman penjara.
Sebelum itu Hakim Datuk Abu Bakar Katar ketika membaca keputusannya itu berkata pelbagai faktor diambil kira termasuk kepentingan awam serta hujahan pihak berkaitan dalam rayuan tersebut.
"Perbuatan responden yang memandu cara melulu atau berbahaya telah menyebabkan kehilangan lapan nyawa. Kesalahan yang dilakukan responden adalah kesalahan berat.
"Mahkamah turut menimbangkan kesalahan yang dilakukan responden adalah kes yang tinggi di Johor dengan statistik menunjukkan kes kemalangan maut antara 2011 hingga 2021 berjumlah 10,297 kematian," katanya.
Prosiding rayuan itu dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali manakala Ke Ting diwakili peguam Muhammad Faizal Mokhtar.
Responden turut gagal menangguhkan hukuman penjaranya, apabila Hakim memerintahkan dia dipenjara mulai Rabu selagi tiada kebenaran Mahkamah Tinggi untuk rayuan penangguhan dibuat.
Sebelum itu, ketika membacakan keputusan rayuan kes itu, Abu Bakar berkata, pendakwaan telah berjaya memutuskan kes prima facie di akhir kes pendakwaan dengan Mahkamah Tinggi turut memerintahkan tertuduh untuk membela diri.
Mahkamah bicara didapati terkhilaf dalam menimbangkan semula isu dibangkitkan di akhir kes pendakwaan berkaitan identiti pemandu kereta, keboleh terimaan eksibit dan tiada pengecaman atas mangsa.
Abu Bakar berkata, mahkamah bicara juga terkhilaf apabila gagal memutuskan pembelaan responden secara tidak bersumpah dan hanya bersifat penafian semata-mata.
"Responden dalam pembelaanya menyatakan tidak nampak kumpulan basikal di tempat kemalangan dan ada kenderaan lain yang melanggar basikal mangsa sebelum melarikan diri, namun versi ini tidak pernah ditimbulkan responden semasa kes pendakwaan.
"Oleh itu, mahkamah ini mengenepikan keputusan mahkamah bicara yang melepas dan membebaskan responden di akhir kes pembelaan. Mahkamah memutuskan responden bersalah dan disabitkan atas pertuduhan itu," katanya.
Pihak pembelaan, merayu supaya mahkamah menjatuhkan hukuman ringan memandangkan ini kesalahan pertama responden dan dia menanggung kedua ibu bapanya.
Sebelum itu, Ke Ting yang berbaju kemeja putih bergaris hitam hadir ditemani seorang rakannya tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru, kira-kira jam 9.50 pada Rabu.
Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 10 Oktober tahun lalu mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan responden daripada tuduhan memandu secara melulu, hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, empat tahun lalu.
Keputusan itu dibuat Majistret Siti Hajar Ali selepas Sam Ke Ting, 27, diarahkan membela diri oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Februari tahun lalu.
Siti Hajar berkata, alasan terhadap keputusan itu mengambil kira keterangan tertuduh yang tiada pengetahuan terhadap aktiviti basikal lajak di situ, adalah munasabah.
Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu tertuduh yang sebelum ini digantung, dikembalikan semula kepadanya dengan serta-merta.
Bagaimanapun pihak pendakwaan menerusi arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun pada 12 Oktober tahun lalu memfailkan notis rayuan terhadap pembebasan tertuduh.
Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada 3.20 pagi 18 Februari 2017.
Remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda, selain lesen memandu digantung, sekiranya disabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!