Terengganu kemuka rayuan pastikan atlet pecut beraksi di Sukma
TERENGGANU akan terus mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) bagi membolehkan pelari pecut, Azreen Nabila Alias beraksi pada temasya sukan itu nanti.
Ia susulan pembatalan kelayakan atlet itu pada kejohanan Sukma 2022 di Kuala Lumpur atas alasan beliau telah menyertai sukan Olimpik di Tokyo, tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya telah mengemukakan rayuan dan justifikasi tentang perkara tersebut dalam beberapa siri mesyuarat jawatankuasa tertinggi Sukma yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, tetapi ditolak.
"Pada peringkat awal, beberapa negeri menyokong (penyertaan Azreen Nabila ke Sukma 2022). Tetapi apabila dibawa ke mesyuarat pengarah-pengarah majlis sukan negeri, ia dibincangkan kembali di peringkat jawatankuasa tertinggi Sukma.
"Kami berpandangan pengguguran Azreen Nabila sebagai atlet Sukma adalah satu penafian terhadap haknya dan kita tidak akan henti berusaha untuk itu," katanya di sini, pada Rabu.
Menurut Wan Sukairi lagi, penyertaan atlet berusia 22 tahun pada temasya sukan terbesar dunia itu tidak sepatutnya menjadi halangan untuk beliau beraksi di Sukma kerana pemilihan mewakili negara adalah berdasarkan tiket 'wild card', bukannya secara merit.
Katanya, penyertaan Azreen Nabila ke sukan Olimpik itu juga dalam jangka masa yang pendek kerana hanya diketahui dalam tempoh sebulan dari tarikh pertandingan.
"Menjadi impian semua atlet untuk ke Olimpik, kalau kita halang dia (Azreen Nabila) ke sana dulu, ia adalah satu tindakan kejam kepada beliau.
"Setakat ini, keputusan jawatankuasa tertinggi masih tidak membenarkan, tetapi kita lihat apa lagi yang boleh dibuat dan ruang yang ada untuk memastikan pelumba pecut kita dapat beraksi," katanya.
Dalam pada itu, Wan Sukairi berkata, beliau berharap 46 atlet Terengganu yang terpilih mewakili negara dalam Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam pada 12 hingga 23 Mei ini akan berjaya membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa dan menjanjikan insentif kemenangan untuk yang berjaya.
"Bagi acara individu, mereka yang membawa pulang pingat emas bakal mendapat insentif sebanyak RM4,000 dan RM2,500 acara berpasukan, perak RM3,000 acara individu dan RM2,000 berpasukan manakala pingat gangsa RM2,000 bagi individu dan RM1,500 berpasukan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!