Tiga remaja maut motosikal bergesel
JELI - Tiga remaja maut manakala seorang lagi cedera parah selepas motosikal yang ditunggangi mereka dipercayai bergesel sesama sendiri dalam kemalangan di Jalan Kampung Sungai Satan-Malaysia, di sini pada Selasa.
Dalam kejadian jam 9 malam itu mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Nordanial Izuan Izaraman, 15; Muhamad Firdaus Mohd Azli, 15, dan Ahmad Tahfiz Irfan Ahmad Nasri, 14.
Sementara itu, Muhammad Aidid Darwisy Mohammad Azhary, 15, cedera parah di bahagian kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.30 malam.
"Siasatan mendapati kesemua mangsa menunggang motosikal dari arah Kampung Sungai Satan menghala ke Jalan Malaysia," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, menurut maklumat yang diterima, salah seorang daripada mereka gagal mengawal motosikal mengakibatkan berlaku pergeseran dan kemalangan sesama sendiri.
Shuhaimi berkata, siasatan lanjut sedang dilakukan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!