PDRM gerak unit MPV, URB cegah jenayah semasa Aidilfitri
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggerakkan pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bagi mencegah jenayah semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri awal Mei ini.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Aidi Ismail berkata, pihaknya menjangkakan orang ramai menggunakan peluang cuti Hari Raya Aidifitri dan cuti umum Hari Pekerja pada ketika itu untuk pulang ke kampung.
"JPJKK di setiap kontinjen akan melakukan rondaan menerusi unit MPV dan URB secara lebih menyeluruh semasa ketiadaan penduduk di kawasan kediaman serta di kawasan premis peniagaan yang tidak beroperasi, bagi memastikan aspek keselamatan dan harta benda komuniti sentiasa terpelihara,” katanya kepada Bernama di sini, pada Rabu.
Justeru, Aidi menyeru orang ramai yang bercadang untuk pulang ke kampung supaya memaklumkan butir-butir peribadi seperti alamat, tempoh bercuti dan nombor yang boleh dihubungi kepada balai polis berhampiran, untuk membantu pihak polis membuat perancangan rondaan pencegahan jenayah.
Kata Aidi, pihaknya juga akan menempatkan lebih banyak anggota di tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang ramai sepanjang musim perayaan ini.
"Apa yang lebih penting dalam kita sedang menghadapi musuh Covid-19 ini, masyarakat perlulah sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan mengamalkan jarak fizikal yang selamat selain memakai pelitup muka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!