Suami terlantar selepas jatuh dari bumbung

Siti Nor Shafika bersama suami dan anak lelaki mereka berusia 49 hari di rumah mereka Kampung Lubok Pukol, Kedai Baru, Kota Bharu.
Siti Nor Shafika bersama suami dan anak lelaki mereka berusia 49 hari di rumah mereka Kampung Lubok Pukol, Kedai Baru, Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Niat murni seorang lelaki menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga tidak kesampaian apabila terjatuh dari bumbung setinggi 12 meter selepas dua hari bekerja pada Jun tahun lalu.

Lebih menyedihkan Muhammad Rosdi Sefai, 27, tidak sempat mengetahui isterinya, Siti Nor Shafika Salmizi, 21, hamil anak sulung mereka selepas dua kali keguguran.

Menyingkap kembali kisah sedih itu, Siti Nor Shafika berkata, pada hari kejadian suaminya sempat membuat panggilan telefon memintanya membelikan buah lai di pasar raya berhampiran rumah mereka.

"Selepas itu saya menerima panggilan telefon memaklumkan suami mengalami kecederaan teruk selepas terjatuh dari bumbung bangunan dan sedang menerima rawatan di hospital.

"Akibat kejadian itu, kedua belah tangan, tulang rusuk, kerangka punggung dan kaki kiri suami patah. Suami turut mengalami pendarahan di bahagian kepala. Kini dia hanya mampu terlantar di atas katil atau kerusi roda khas," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lubok Pukol, Kedai Baru di sini pada Rabu.

Siti Nor Shafika (dua dari kiri) menerima cek pembayaran bagi Faedah Hilang Upaya Kekal berjumlah RM56,176.10 yang disampaikan oleh Mumtaz (tiga dari kanan) bersama Nora (dua dari kanan).
Siti Nor Shafika (dua dari kiri) menerima cek pembayaran bagi Faedah Hilang Upaya Kekal berjumlah RM56,176.10 yang disampaikan oleh Mumtaz (tiga dari kanan) bersama Nora (dua dari kanan).

Siti Nor Shafika sebelum itu menerima kunjungan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan dan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit, Datuk Mumtaz Md Nawi.

Menurutnya, dalam keadaan berbadan dua ketika itu, dia tetap gagahkan diri menjaga suami yang lumpuh dan terlantar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia cukup beruntung apabila ibu mentua, Meksom Jaafar, 65, banyak membantu menguruskan suami lebih-lebih lagi dia baru sahaja melahirkan anak sulung, Muhammad Raihan yang kini berusia 49 hari.

Siti Nor Shafika berkata, setiap kali dia cuba berinteraksi dan memberitahu tentang anak mereka, suaminya hanya mampu mengedipkan mata.

"Setiap hari hanya mata yang menjadi penghubung kami untuk berkomunikasi. Saya rasa suami faham apa yang disampaikan kerana dia sering mengalirkan air mata setiap kali melihat anak kami," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob berkata, Siti Nor Shafika layak menerima bayaran bagi Faedah Hilang Upaya Kekal berjumlah RM56,176.10 serta layak menerima Elaun Layanan Sentiasa sebanyak RM1,194.50 sebulan bagi pihak suaminya.

Beliau berkata, sumbangan bekalan susu dan lampin pakai buang turut diberikan kepada Siti Nor Shafika untuk kelangsungan menjaga suami.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!