Pindaan RUU Anti Lompat Parti kembalikan kepercayaan rakyat
SHAH ALAM - Rakyat dijangka kembali mempercayai sistem pentadbiran dan politik negara selepas Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dilaksanakan.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, RUU Perlembagaan (Pindaan)(No.3) 2022 yang dicadangkan sebenarnya mempunyai niat mengembalikan kemuliaan dan kepercayaan rakyat kepada ruang politik.
“Terus terang, kita amat memahami kekecewaan majoriti rakyat dengan suasana politik berlompat-lompatan dan penuh ketidaktentuan.
“Kekuatan dan keutuhan siasah negara mesti dikembalikan kepada keadaan yang lebih sasa dan stabil,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Rabu.
Menurutnya, hak dan keputusan rakyat mesti dihargai dan dihormati. Mandat mereka mesti dihormati dan dilunaskan dengan penuh tanggungjawab.
“Kecurigaan dan kesangsian tidak boleh menjadi emosi pilihan ‘default emotion’ kepada rakyat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, politik mesti menjadi ruang yang kembali dihormati dan dipercayai.
“Ya, memang benar, proses ini tidak akan berlaku dalam sehari. Ia memerlukan proses yang panjang dan sangat berliku. Namun, percayalah ia telah pun dimulakan dan hakikatnya, kita tidak bermula di titik sifar,” katanya.
Menurut beliau, mesyuarat Khas Parlimen pada 11 April lalu merupakan detik yang cukup bermakna kepada landskap politik tanah air.
“Cadangan draf asal yang merujuk kepada usaha mencadang dan memaktubkan RUU (Pindaan) (No.3) 2022 akhirnya diputuskan untuk dibawa kepada pemerhatian khusus dan spesifik sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas.
“Lebih menarik dan wajar dihargai, jawatankuasa ini dianggotai oleh wakil parti politik yang bersifat rentas. Selain peranan utama yang bakal diterajui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), ia akan turut disertai kalangan wakil parti yang bukan sahaja mempunyai pengalaman malah memahami had, batas dan keperluan undang-undang yang akan dipersetujui nanti,” katanya.
Kata Menteri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu lagi, Sidang Khas Parlimen yang diadakan tempoh hari tidak mendatangkan kerugian apa pun kepada mana-mana pihak.
Jelasnya, apa yang sedang dilalui oleh Perdana Menteri pada ketika ini merupakan dinamik politik yang tidak pernah dialami oleh mana-mana pimpinan sebelum ini.
“Getar rasa permuafakatan politik yang dibawa oleh kepimpinan negara pada ketika ini, cukup ikhlas dan terbuka. Semua pihak dirundingi dengan sebaik mungkin.
“Menjemput dan mendengar pandangan seluruh spektrum politik merupakan ikhtiar yang panjang dan barangkali melelahkan. Namun, inilah realiti politik yang ada,” katanya.
Tambahnya lagi, ruang keterbukaan dan pentas permuafakatan hanya mampu direalisasikan seorang pemimpin yang mempunyai desak hati dan firasat politik yang memuliakan semangat musyawarah.
“Cukup jelas, memorandum persefahaman politik (MoU) tidak dijayakan atas dasar tangkap muat. Ia dokumen yang memeterai kesungguhan dan komitmen untuk mendahulukan kesejahteraan dan kepentingan rakyat. Seluruh ruang sayap politik diberikan cukup masa untuk mengemukakan pandangan dan hasrat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!