Terseksanya Siti Syarifah...

Khalid Redza (kiri) mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah ke atas Siti Syarifah yang dilakukan di sebuah rumah di Taman Nee Yan.
Khalid Redza (kiri) mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah ke atas Siti Syarifah yang dilakukan di sebuah rumah di Taman Nee Yan.
A
A
A

SEREMBAN - Melecur pada kedua-dua belah kaki, dada dan belakang badan seperti ditekap dengan objek panas.

Itu fakta kes yang dibacakan di Mahkamah Majistret Seremban pada Rabu berhubung kecederaan dialami oleh Siti Syarifah Aibiddin, 35, yang dilakukan oleh seorang peniaga kecil-kecilan, Khalid Redza Shuib, 41.

Mengikut kertas pertuduhan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas mangsa yang dilakukan di sebuah rumah di Taman Nee Yan dilakukan antara 1 Disember 2021 hingga 23 Mac 2022.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun dan denda.

Fakta kes turut menyatakan mangsa mengalami luka pelbagai peringkat iaitu dari luka baru sehingga yang telah sembuh menandakan luka melecur tersebut dialami berulang kali pada masa berbeza.

Tidak cukup dengan seksaan itu, mangsa turut mengalami patah tulang femur sebelah kanan dan mukanya mengalami luka-luka kecil.

Keterangan saksi pula telah mengesahkan terdapat kejadian pukul ke atas mangsa sehingga melecur dan kaki mangsa dipijak secara berulang kali sehingga patah sepanjang tempoh mangsa tinggal di lokasi kejadian.

Khalid Redza bagaimanapun mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Artikel Berkaitan:

Majistret Mohd Firdaus Saleh menetapkan 27 April depan untuk mengemukakan kenyataan impak mangsa dan hukuman ke atas tertuduh.

Sebelum itu peguam pemerhati, Datuk Hanif Hassan yang mewakili keluarga Siti Syarifah memohon mahkamah membenarkan untuk mendapatkan kenyataan impak daripada mangsa sebelum hukuman dijatuhkan.

"Saya dimaklumkan mangsa (Siti Syarifah) masih dirawat di hospital, mangsa juga boleh dikecualikan hadir dan memberikan kenyataan bertulis kepada mahkamah," katanya.

Dalam prosiding kes itu, Khalid Redza kelihatan menangis dalam kamar tertuduh selepas membuat pengakuan bersalah.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan tengkorak dan cebisan tulang rangka dipercayai milik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemukan ditanam di kawasan belukar berhampiran tangki milik Pengurusan Air Berhad, di Taman Bukit Zamrud pada 7 April lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, tulang berkenaan ditemui jam 11 pagi selepas suspek lelaki utama kes penemuan mayat seorang wanita di Jalan Bukit Putus Lama pada 20 Mac lalu dan seorang saksi perempuan telah dibawa menunjukkan lokasi terbabit.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!