Tiada produk coklat Kinder tercemar masuk Malaysia: KKM
KUALA LUMPUR - Tiada produk coklat jenama Kinder daripada kilang Ferrero Ardenes di Arlon, Belgium yang dilaporkan tercemar dengan bakteria Salmonella typhirium masuk ke Malaysia.
Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan (KKM), Mohd Salim Dulatti mengesahkan perkara itu berdasarkan semakan data melalui Sistem Maklumat Keselamatan Makanan (FoSIM) Malaysia dari tahun 2021 sehingga kini.
Beliau berkata, maklumat daripada International Food Safety Authorities Networks (INFOSAN) turut mengesahkan produk yang terlibat tidak dieksport ke Malaysia.
"Coklat berjenama Kinder yang memasuki negara ini kebanyakannya diimport dari Poland, Itali, Jerman, India dan beberapa negara lain.
"Bagaimanapun, KKM akan meningkatkan pemantauan terhadap produk coklat jenama Kinder di pintu masuk negara bagi memastikan produk terlibat tidak masuk ke pasaran tempatan. KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohd Salim turut menasihatkan pengguna agar menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat atau hubungi KKM melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq jika terdapat kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan.
Pada Rabu media melaporkan beberapa produk coklat Kinder iaitu Kinder Surprise, Kinder Mini Eggs, Kinder Surprise Maxi 100g, Kinder Schokobons dan Kinder Egg Hunt Kit dikesan tercemar dengan bakteria Salmonella typhirium.
Salmonella typhirium adalah bakteria patogenik yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan dengan simptom demam, kekejangan perut dan cirit-birit terutama di kalangan kanak-kanak. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!