Keluarga remaja basikal lajak lega mangsa dapat pembelaan sewajarnya
JOHOR BAHRU - Penantian keluarga mangsa basikal lajak selama lebih lima tahun agar nasib remaja yang maut dan cedera parah dirempuh kereta mendapat pembelaan sewajarnya menemui titik noktah apabila pemandu kereta berkenaan dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Rabu
Ibu kepada salah seorang mangsa basikal lajak yang meninggal dunia, Sabariah Yusof, 54, berkata, dia bersyukur dengan keputusan mahkamah dan merancang membuat doa selamat selepas ini.
Ingatan terhadap anaknya, Allahyarham Mohd Azhar Amir tidak pernah dilupakan Sabariah yang juga ibu tunggal lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.
"Arwah merupakan anak ke lapan daripada 10 beradik yang sangat baik dan rapat dengan saya. Setiap pagi selepas bangun tidur saya sering teringatkan arwah. Katil tempat tidur arwah tidak pernah diubah dan masih dijaga rapi.
"Banyak kenangan arwah seperti gambar disimpan oleh anak-anak saya yang lain. Mereka tidak mahu saya bersedih tragedi yang menimpa arwah," katanya ketika ditemui di Kampung Senibong di sini pada Rabu.
Sementara itu bagi Salman Ahmed, 56, bapa kepada Muhamad Arif Salman, 20, yang cedera parah dalam tragedi malang itu, lega dengan pembelaan yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi.
Salman berkata, anaknya mengalami gegaran otak dan cedera parah di bahagian kepala selain perlu berulang-alik selama tiga bulan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
"Selepas dua minggu Muhamad Arif mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah ( HSA), saya dan isteri, Turimah Mahmood, 50 tidak boleh sebut langsung tentang basikal. Anak saya kerap meracau dan teringat rakan-rakannya.
"Selepas setahun, baharu saya beritahu kepada Muhamad Arif, lapan rakannya sudah meninggal akibat tragedi itu. Saya bawa dia ke kubur untuk ziarah dan sehingga kini anaknya kerap ziarah kubur mereka," katanya.
Salman memberitahu, Muhamad Arif yang sudah bekerja di sebuah kilang kini menjalani kuarantin selepas positif Covid-19.
Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Rabu, menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM6,000 ke atas seorang kerani wanita, susulan kesalahan memandu secara melulu, hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, lima tahun lalu.
Ini sekali gus membatalkan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober tahun lalu, yang mengekalkan keputusan untuk membebaskan tertuduh, Sam Ke Ting, 27 tahun, daripada tuduhan terbabit
Responden, Sam Ke Ting, 27, turut diperintah menjalani hukuman penjara tambahan selama enam bulan penjara jika tidak membayar denda selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun yang berkuat kuasa selepas selesai hukuman penjara.
Dalam tragedi yang berlaku di Jalan Lingkaran Dalam, pada 3.20 pagi 18 Februari 2017, lapan remaja menaiki basikal lajak terkorban selain empat parah manakala empat lagi turut tercedera dirempuh kereta dipandu Ke Ting.
Remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!