Elak arak dirampas, penyeludup campur barang lain
PETALING JAYA - Tindakan sindiket penyeludupan arak mencampurkan tin minuman itu dengan barangan lain gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila minuman keras berjumlah 75,420.86 liter dengan nilai dianggarkan RM416,254 berjaya dirampas.
Kesemua arak berkenaan ditemui ketika pemeriksaan di Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada 28 Februari lalu serta antara 2 Mac sehingga 28 Mac lalu.
Penolong Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Zon Tengah, Mohammad Sabri Saad berkata, sindiket terbabit turut bertindak berani mengisytiharkan barangan lain bagi mengelirukan pihak berkuasa.
"Operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit 1 (WPKL) menahan lima kontena bersaiz 12.19 meter yang mengandungi minuman keras membabitkan jumlah cukai dan duti import kira-kira RM1,985,636," katanya pada sidang akhbar kejayaan Kastam Zon Tengah di Ibu Pejabat JKDM Zon Tengah di sini pada Rabu.
Mohammad Sabri memberitahu, pemeriksaan mendapati minuman keras itu diletakkan di bahagian belakang muatan kontena dan bahagian hadapan diletakkan barangan lain yang bercampur.
"Modus operandi ini dipercayai giat dilakukan menggunakan kontena barangan campur yang memasuki pelabuhan negara," katanya.
Menurutnya, setakat ini seramai lima wakil perkapalan dipanggil untuk membantu siasatan mengesan syarikat atau ejen pengimport.
Tambah Mohammad Sabri, Kastam turut berjaya mematahkan cubaan menyeludup cerut yang disyaki tidak bercukai melalui penahanan sebuah kontena bersaiz kira-kira 6.1 meter di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada 28 Februari lalu.
"Siasatan mendapati berat cerut dianggarkan RM52,740 dengan jumlah cukai dan duti import kira-kira RM3,090,114," katanya.
Menurut beliau, produk tembakau seberat 4,674kg itu disembunyikan di bahagian belakang muatan kontena manakala selipar getah di ruang hadapan bagi mengaburi pihak berkuasa.
"Kedua-dua kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!