Beri 4,000 nasi beriani percuma
IPOH - Bersempena bulan Ramadan, Persatuan India Muslim Perak (PRIM) menyediakan 4,000 bungkus nasi beriani secara percuma kepada warga Bandar raya Ipoh di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) di sini pada Rabu.
Pengerusi PRIM, Mohamad Arib Aliah berkata, program tersebut merupakan aktiviti tahunan yang masuk edisi keenam pada tahun ini.
Menurutnya, pemberian nasi beriani secara percuma itu bertujuan memberi sumbangan kepada orang ramai untuk berbuka puasa.
"Objektif program ini sebenarnya kita nak bersedekah kerana kita tahu amalan memberi makanan berbuka puasa ketika bulan Ramadan akan mendapat pahala besar.
"Jadi saya bersama rakan-rakan ahli persatuan dengan kerjasama Masjid Negeri Perak meneruskan tradisi ini yang pernah kita adakan di Masjid India Muslim dan Mes Pegawai Polis sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas ditemui mengagihkan nasi beriani tersebut di perkarangan Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) di sini pada Rabu.
Menurutnya, sekitar jam 3 petang, orang ramai mula mengunjungi masjid untuk mendapatkan nasi beriani tersebut.
Sementara itu, Mohamad Arib berharap program tersebut dapat lagi diteruskan pada masa akan datang.
Katanya, PRIM merancang untuk menambah lagi jumlah pemberian nasi beriani itu pada tahun hadapan sebanyak 5,000 bungkus bagi program tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!