Dibayar RM250 buat ugutan jenayah, simbah cat

Wan Hassan menunjukkan kesan-kesan simbahan cat di rumah mangsa ketika sidang media mengenai penahanan dua lelaki yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket pinjaman wang tidak berlesen di Ibu Pejabat Daerah Kota Setar pada Rabu. - Foto Bernama
Wan Hassan menunjukkan kesan-kesan simbahan cat di rumah mangsa ketika sidang media mengenai penahanan dua lelaki yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket pinjaman wang tidak berlesen di Ibu Pejabat Daerah Kota Setar pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Polis menahan dua lelaki yang disyaki bersekongkol dengan sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau ‘along’ bagi melakukan ugutan jenayah terhadap peminjam yang tidak membuat bayaran balik pinjaman, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kedua-dua suspek berusia 23 dan 25 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dilakukan di sebuah rumah di Kampung Tengah Pumpung di sini antara 12.10 tengah malam hingga 9.26 pagi.

"Siasatan awal mendapati sindiket ini beroperasi sejak sebulan lalu dan kegiatan dijalankan di sekitar bandar raya ini, Sungai Petani dan daerah Kubang Pasu.

"Mereka menerima kerja-kerja menghantar notis ugutan dan simbah cat (di kediaman peminjam), menerusi Facebook dan menerima upah sebanyak RM250 untuk setiap kali melakukan tugas ugutan,” katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Katanya, kedua-dua suspek dipercayai melakukan kegiatan menghantar notis ugutan dan menyimbah cat di rumah peminjam pada waktu antara 1 hingga 4 pagi ketika mangsa sedang tidur.

Menurutnya, selepas tugasan dibuat, suspek akan mengambil gambar atau video dan menghantarnya ke satu talian WhatsApp atau sindiket utama sebagai bukti tugasan telah dilaksanakan.

Katanya, kedua-dua suspek telah direman empat hari bermula Rabu dan kes disiasat di bawah Seksyen 29B(1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Saya menyeru kepada orang ramai supaya berhati-hati, janganlah kita membuat pinjaman dengan along kerana kadar faedahnya cukup besar dan peminjam akan dibelenggu dengan hutang serta akan menerima ugutan jenayah sehingga mengganggu keluarga,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!