Jangan terlibat edar, jual mercun, bunga api terlarang
KUALA LUMPUR - Jangan jadi pengedar atau penjual mercun, itu ingatan tegas Penolong Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Mohammad Sabri Saad terhadap mana-mana individu yang berhasrat mahu menceburkan diri menjual barangan terlarang tersebut.
Mohammad Sabri berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati menjual mercun dan bunga api yang tidak dibenarkan.
"Kita ingatkan jangan terlibat jadi pengedar atau penjual kecuali mereka yang mendapati permit yang sah.
"Jangan sesekali terlibat, jika kita dapati, tindakan tegas akan segera diambil,termasuk rampas," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media kejayaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah di Ibu Pejabat JKDM Zon Tengah di sini pada Rabu.
Katanya, pihaknya telah menggerakkan operasi berkaitan bunga api dan mercun ini.
"Operasi penguatkuasaan telah digerakkan sejak awal Ramadan, pemantauan bukan sahaja melibatkan pintu masuk sempadan malahan turut melibatkan peniaga kecil.
"Pemantauan sentiasa dijalankan bagi mengekang kegiatan melibatkan penjualan bunga api dan mercun terlarang ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!