Makin berusia, peluang makin terhad : Sharifah Shahora

Sharifah Shahora
Sharifah Shahora
A
A
A

MENYEDARI jangka hayat karier sebagai pelakon semakin sengit dek kerana lambakan pelapis baharu, aktres Sharifah Shahora menyusun rapi strategi untuk terus berjuang sebagai anak seni.

Masih di haluan sama, cuma figura ini melebarkan sayap ke bidang penerbitan.

Menceritakan detik permulaan sebagai penerbit, Sharifah berkata, dia mula giat dalam arena berkenaan sejak setahun lalu.

“Sebenarnya saya sudah melibatkan diri dalam bidang penerbitan ini sejak 2008 lagi, namun betul-betul aktif tahun lalu.

“Tapi bukanlah aktif itu setiap bulan sahaja akan ada projek. Tidak. Dalam setahun akan ada projek untuk dijayakan.

“Boleh dikatakan saya meletakkan bidang lakonan dan kerja di belakang tabir ini sebagai persediaan sekiranya suatu hari kelak sudah kurang aktif berlakon.

“Sejak abang Mukhriz (suami) menjadi pengarah lebih senang untuk menguruskan produksi,” jelasnya.

Setakat ini, dua buah filem dan lima drama sudah diterbitkan syarikat produksinya.

Artikel Berkaitan:

Tambah anak jati kelahiran Perak ini, dia gembira kerana diberikan peluang untuk menggalas tanggungjawab baharu.

“Sejujurnya saya gembira dengan apa yang saya sedang lakukan sekarang. Maknanya daripada berlakon sehinggalah diberikan peluang untuk menjadi penerbit, kedua-duanya OK.

“Dalam industri ini tidak ke mana, setakat menggunakan populariti untuk bisnes produk sendiri, tetapi arah tuju dalam industri pula bagaimana?

“Maka menerusi pengalaman sejak 20 tahun 30 tahun yang dipelajari ini dapatlah mencuba bidang lain.

“Bahkan di Malaysia semakin berusia sebenarnya peluang agak terhad. Oleh sebab itu kena fikir sesuatu untuk meneruskan perjuangan hidup,” jelasnya kepada Sinar Harian.

Dalam perkembangan terkini, Sharifah bakal menerbitkan sebuah drama untuk slot Meremang Astro di samping terlibat dengan penggambaran Mama Papa Ekspres untuk stesen TV3 dan drama bersiri Setelah Terlafaznya Akad di slot Mega drama Astro arahan Michael Ang.

Sehubungan itu, selaku pelakon otai, dia turut menitipkan sepatah dua nasihat untuk bakat baharu yang mahu terjun ke bidang glamor ini.

“Saya dah lihat perkembangan jangka hayat pelakon di industri ini sejak 30 tahun lalu.

“Jadi kena ada sasaran, andai sekadar berlakon maka sampai bila-bila pun setakat itu sahaja.

“Jangka hayat sekarang lima tahun sahaja sebab pelakon baharu saban hari akan muncul dan orang lama lazimnya akan jadi pelakon pembantu sahaja.

“Tetapi kalau ada populariti dan pandai menjaga penampilan diri dan disiplin mungkin akan bertahan,” pesannya.

Awal Mac industri dibangkitkan dengan isu antara rupa dan bakat.

Penerbit Datuk A. Aida tampil dengan berani dan lantang menyuarakan hakikat industri hiburan bahawa bakat boleh digilap tetapi rupa dan pakej penuh adalah perkara paling penting.

Pada pandangan Sharifah pula, dia tidak menyebelahi mana-mana pihak, namun percaya hakikat itulah yang harus ditelan oleh bakal pelapis baharu.

“Ada kebaikan dan keburukannya di sini. Ada beberapa pelakon senior yang membidas sebab zaman mereka dahulu bakat diutamakan. Mungkinlah seperti apa yang diperkatakan A. Aida merujuk kepada era kini, 2018 dan 2019 mungkin itu diperlukan sebagai pakej.

“Sebab ada juga saya terdengar mulut masyarakat bertanyakan siapa hero itu? Tak cantik dan tak terkenal tak mahu tengok.

“Berbeza dengan zaman mereka dahulu, tiada bakat akan dihentam, bab rupa boleh diperbaiki.

“Era media sosial sekarang ini orang suka tengok yang cantik. Bagaimanapun mereka tetap pentingkan bakat, kalau kayu pun mereka akan hentam,” jelasnya.

Lantaran itu, pelakon baharu juga dinasihatkan agar memasuki kelas lakonan yang disediakan untuk membentuk mutu lakonan.

“Jangan mereka ini membiarkan diri cantik tapi dikutuk memanjang. Sewaktu di set penggambaran juga kena ambil kesempatan timba ilmu dengan pelakon senior,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!