Arlina Banana alih kesedihan dalam tulisan

Arlina Banana. - Foto:GRUP BUKU KARANGKRAF
Arlina Banana. - Foto:GRUP BUKU KARANGKRAF
A
A
A

BAGI sesetengah pelayar media sosial, nama Arlina Banana barangkali tidak asing lagi.

Tidak perlu diungkit mengenai kontroversi yang melanda anak jati Subang Jaya, Selangor sebelum ini, kerana ada juga yang mengenali Arlina atau nama sebenarnya Arlina Arshad kerana personaliti yang menarik dan popular dengan video-video lawak dan terselit mesej positif.

Memilih untuk tidak bercakap mengenai penyakit yang dialami iaitu Borderline Personality Disorder (BPD), bekas pelajar perubatan ini mengakui menjadikan dunia penulisan sebagai salah satu terapi.

Jelas wanita berusia 28 tahun ini, tidak lama selepas membuat keputusan berhenti daripada pengajian, dia mendapat tawaran dari Grup Buku Karangkraf untuk menerbitkan buku.

"Buat masa sekarang, saya sudah ada tiga buku di bawah penerbitan Pojok iaitu Pujuk, Satu dan Bangsal Luka.

"Faktor terbesar yang mendorong saya untuk menulis ialah emosi saya, terutama kesedihan. Saya memang menulis bila sedih, jadi kalau perasan selalu penulisan saya memang agak beremosi tetapi dalam masa yang sama ada motivasi sebab saya juga menulis untuk 'pick-up' diri sendiri," jelasnya kepada Sinar Harian.

Arlina Banana. - Foto:GRUP BUKU KARANGKRAF
Arlina Banana. - Foto:GRUP BUKU KARANGKRAF

Tambahnya, idea penulisan itu datang dari emosi dan apa juga yang berlaku di sekeliling Arlina.

Artikel Berkaitan:

"Tempoh penulisan juga bergantung kepada keadaan. Ada buku yang saya boleh siapkan dalam masa beberapa bulan, tetapi untuk buku terbaharu saya, Bangsal Luka, saya ambil masa sehingga dua tahun.

"Walaupun buku itu coretan tentang apa yang saya lalui lepas putus cinta tapi banyak juga saya selitkan fasal kisah orang lain yang menyentuh emosi saya.

"Disebabkan itu, setiap kali menulis dan akan teringat, saya memilih untuk berhenti seketika dan ia terjadi banyak lagi. Bila saya dah betul-betul move on, barulah saya dapat habiskan buku itu," ujarnya.

Ditanya perancangannya dalam dunia penulisan, Arlina berkata, buat masa sekarang, buku yang ditulis bercirikan anekdot dan dia berharap dapat beralih ke genre berbeza pada masa akan datang.

"Kebanyakan penulisan saya semuanya bercirikan anecdotes dan saya teringin untuk menulis novellete yang bertemakan psiko thriller, supaya dapat cabar diri sendiri untuk tulis sesuatu yang berbeza," jelasnya.

Tidak hanya menulis sebagai terapi, Arlina juga gemar mengembara sendiri untuk mengutip pengalaman dan menangani masalah BPD.

Malah, Arlina juga pernah mengembara ke negara Eropah seorang diri beberapa tahun lalu.

Asal usul nama Banana

Sementara itu, ditanya mengenai nama panggilan Arlina Banana yang digunakan kini, Arlina berkata, pada mulanya, nama itu digunakan untuk akaun Instagram.

Bagaimanapun dia tidak menyangka nama itu melekat sehingga kini.

"Pakar Psikiatri saya selalu pesan untuk makan pisang sebab buah itu boleh menaikkan serotonin level.

"Jadi saya letak nama Banana untuk ingatan dan tidak sangka nama Arlina Banana lekat hingga kini dan saya tak kisah jika ada orang panggil saya Arlina Banana," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!