Daftar Myfuture Job, dapat wang tunai
KOTA BHARU - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan mengajak individu bukan pencarum terutama graduan baharu, pelajar lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal untuk berdaftar dengan Myfuture Job bagi membolehkan mereka menerima wang tunai berjumlah RM300 selama tiga bulan.
Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob berkata, bayaran sepanjang tempoh tiga bulan itu akan diberikan kepada mereka yang sedang berusaha mencari pekerjaan.
"Setiap bulan, individu tersebut perlu menghadiri sekurang-kurangnya tiga aktiviti temuduga dan mengemaskini segala aktiviti pencarian kerja di Myfuture Job.
"Setiap temuduga yang dihadiri akan dibayar RM100 oleh kami.
"Permohonan boleh dibuat di aplikasi Perkeso Prihatin atau melalui laman sesawang https://matrix.perkeso.gov.my.Tempoh pendaftaran ini bermula dari 1 Januari lalu sehingga 31 Disember ini," katanya kepada
pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada Siti Nor Shafika Salmizi, 21, di Kampung Lubok Pukol, Kedai Baru di sini.
Hadir sama Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit, Datuk Mumtaz Md Nawi.
Menurutnya, selain itu individu yang memperoleh pekerjaan sepanjang tempoh tersebut turut mendapat bayaran elaun persediaan bekerja sebanyak RM400 sebelum masuk bekerja.
Katanya, sejak insentif bukan pencarum ini diiperkenalkan, sebanyak 717 permohonan telah diterima oleh Perkeso Kelantan dan melibatkan pembayaran sebanyak RM54,200.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!