Tiga ditahan bawa senjata api, peluru tanpa permit
KUANTAN - Dua lelaki dan seorang wanita ditahan susulan penemuan selaras senjata api buatan sendiri bersama 17 butir peluru dalam kenderaan pacuan empat roda dinaiki ketika diperiksa di kawasan Kampung Bukit Pencorong, Bera awal pagi Rabu.
Suspek berusia 33 hingga 63 tahun itu dipercayai dari Kuantan dan dalam perjalanan menuju ke satu lokasi hutan untuk aktiviti berburu.
Pegawai Pemerintah Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Ramli Wan Salin berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek mendapati mereka tidak mempunyai sebarang permit atau lesen membawa senjata api dan peluru hidup.
Menurutnya, turut dirampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero, beg kanvas dan sebuah telefon bimbit dengan nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM20,000.
"Ketiga-tiga suspek bersama barang rampasan telah ditahan sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ramli berkata, kejayaan tangkapan itu adalah melalui Ops Bersepadu Khazanah Siri 4/2022 yang dijalankan Batalion 18 PGA bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Jabatan Perhutanan di kawasan tersebut.
"Semasa kejadian, seorang anggota Batalion 18 PGA bersama sembilan penguat kuasa Perhilitan dan seorang penguat kuasa Jabatan Perhutanan sedang dalam tugas rondaan di lokasi itu.
"Kira-kira jam 4.30 pagi pada hari berkenaan, anggota terlibat menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan untuk pemeriksaan," katanya.
Tambah beliau, pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut membawa kepada penemuan senjata api buatan sendiri dan peluru dipercayai untuk aktiviti berburu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!