Bayi derita benjolan lipoma rayu jalani pembedahan
MELAKA - Pasangan suami isteri dari Kampung Bachang, di sini bimbang apabila benjolan di bahagian belakang badan anak kedua mereka semakin membesar.
Mohammad Faizzudin Nasrah, 26, berkata, dia dan isterinya, Nur Hafifah Aisyah Jamil, 25, sedih melihat anak mereka, Faith Rizqi Mohammad Faizzudin yang berusia enam bulan sering menangis kerana tidak selesa dengan benjolan itu disebabkan menghidap lipoma.
Menurutnya, benjolan itu dikesan ketika Faith Rizqi berusia empat bulan dan pada awalnya mereka menyangka masalah itu tidak serius serta akan surut seperti pernah dialami anak sulungnya sebelum ini.
"Hati ibu bapa mana yang tak sedih melihat penderitaan yang terpaksa dilalui anak sekecil ini.
"Mulanya kami hanya anggap benjolan biasa, namun semakin hari semakin membesar dan kami terpaksa merujuk ke Hospital Melaka," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Bachang pada Khamis.
Dalam pada itu, Mohammad Faizzudin yang bekerja sebagai pemandu lori di sebuah kilang di Malim berkata, benjolan itu pada mulanya hanya sebesar 20 sen namun membesar dengan cepat dalam tempoh dua bulan dan kini benjolan itu sudah sebesar buah manggis.
Katanya adakalanya dia terpaksa mengambil cuti beberapa hari kerana membantu isterinya menjaga anak mereka selain perlu membawanya bagi mendapatkan rawatan susulan.
"Setakat ini keadaan Faith Rizqi masih aktif namun apa yang merisaukan kami apabila dia sering demam, batuk dan selesema. Malah benjolan itu semakin membesar dan kami nak pegang pun risau kerana benjolan itu nampak semakin tegang selain nampak urat.
"Jadi kami berharap tarikh rawatan susulan serta menjalani pembedahan pada Jun depan dapat disegerakan meskipun terpaksa menyambut Aidilfitri di hospital kerana bimbang risiko lain yang terpaksa dihadapi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!