Polis Kelantan tingkatkan risikan kekang jenayah
KOTA BHARU - Polis Kelantan akan mempertingkatkan lagi risikan dalam usaha mengekang aktiviti jenayah termasuklah rentas sempadan terutama penyeludupan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, usaha ini dibuat bagi mendapatkan seberapa banyak maklumat berkait dengan aktiviti berkenaan.
"Setiap maklumat yang diperoleh akan terus disusuli dengan tindakan operasi," katanya selepas mengagihkan bubur lambuk kepada 1,000 pengguna jalan raya di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini pada Rabu.
Hadir sama Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud dan Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia Daerah Kota Bharu, Tuan Harun Tuan Yahya.
Menurutnya, individu atau kumpulan yang terlibat dengan aktiviti jenayah termasuklah rentas sempadan akan berdepan tindakan tegas.
Beliau berkata, tiada sebarang kompromi akan diberikan dan penguatkuasaan dilakukan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Mengulas mengenai agihan bubur lambuk itu, Shafien berkata, selain pengguna jalan raya ia turut diberikan kepada anggota bertugas.
Katanya, sebanyak 1,000 bekas bubur lambuk diagihkan menerusi kerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!