Tarikh debat Najib, Anwar diumum secara bersama hujung minggu ini

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Tarikh debat antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan isu Sapura Energy Bhd (SEB) akan diumumkan dalam satu sidang media pada hujung minggu ini.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, sidang media tersebut akan turut mengumumkan lokasi dan pihak media yang bakal menyiarkan debat berkenaan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, perkara itu telah dibincangkan secara bersama dengan wakil Najib iaitu Isham Jalil yang merupakan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor.

“Semalam, 13 April 2022, dalam pertemuan jam 4 petang (Isham bertiga, saya juga bertiga), saya ulang pendirian Datuk Seri Anwar supaya debat diadakan secepat mungkin dalam bulan Ramadan dan Isham tetap dengan pandangan masa sesuai ialah selepas raya.

“Beberapa tarikh khusus dibincang tapi belum di muktamad. Kami juga bersetuju permakluman debat akan dibuat secara bersama dalam satu sidang media hujung minggu ini. Jadi, sebarang tarikh yang dibayangkan Isham atau Datuk Seri Najib itu belum dipersetujui atau disahkan.

“Bukan fait accompli. Kita ikutlah proses. Isham ada dua saksi, saya pun ada dua saksi. Tapi saya tak tahu lah kalau admin Facebook berbayar Datuk Seri Najib antara dua saksi semalam. Jadi kita tunggu pengumuman rasmi bersama hujung minggu ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Fahmi berkata, menerusi dua siri pertemuan yang diadakan, Isham tetap dengan pendiriannya untuk mengadakan debat selepas bulan Ramadan.

Tambah beliau, bekas pegawai khas Najib itu juga mencadangkan agar acara tersebut dilaksanakan dengan menggunakan format wacana dan bukannya debat.

Artikel Berkaitan:

Anwar dan Najib sebelum ini telah menyatakan persetujuan untuk berdebat mengenai isu keperluan untuk menyelamatkan syarikat minyak dan gas kedua terbesar di dunia, SEB yang ketika ini mengalami krisis kewangan yang teruk.

SEB yang juga sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dilaporkan mencatat kerugian sebanyak RM8.9 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!