Tok Mat boleh menang mudah

Najmil
Najmil
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dijangka tidak menghadapi masalah untuk mengekalkan kerusi DUN Rantau dalam pilihan raya kecil pada 13 April ini.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, rekod baik serta ketokohan bekas menteri besar itu sudah cukup untuk meyakinkan pengundi di Rantau untuk terus memilihnya agar terus mewakili penduduk di situ.

Menurutnya, DUN Rantau bukanlah asing bagi Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Mat memandangkan ia merupakan kampung dan tempatnya dibesarkan, selain mempunyai hubungan yang baik dengan masyarakat di sana.

“Saya melihat peluang BN untuk menang ada kerana calonnya sendiri adalah tokoh yang cukup disegani bukan sahaja penduduk di situ tapi di negara ini.

“Saya lihat tiada cacat celanya di situ dan saya yakin orang Rantau akan fikirkan, kalau Tok Mat tiada, adalah menjadi satu kerugian bagi rakyat kerana sebagai pembangkang, beliau berperanan untuk ‘semak dan imbang’ demi kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, adalah menjadi satu kerugian besar kepada rakyat jika tidak memilih pemimpin kanan BN itu yang bukan sahaja mempunyai ketokohan, malah bijak dalam menyuarakan kehendak atau apa yang ingin rakyat sampaikan kepada kerajaan.

Katanya, berdasarkan ‘track record’ Mohamad, beliau percaya BN bukan saja akan mendapat sokongan orang Melayu, tetapi juga bangsa lain di kawasan itu.

“Tok Mat ini diibaratkan produk yang sukar didapati yang mempunyai rekod yang baik dan cemerlang. Sebab itu saya rasa orang boleh pertimbangkannya.

Artikel Berkaitan:

“Kita perlu ingat, siapa sahaja yang menang di Rantau, tidak akan mengubah apa-apa kedudukan kerajaan negeri atau pusat. Tetapi sekiranya Tok Mat yang kalah, yang rugi adalah rakyat kerana suara Tok Mat adalah suara Timbalan Presiden BN dan pemimpin kanan pembangkang,” katanya.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen yang difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November lalu, yang mengisytiharkan kemenangannya pada PRU14, terbatal dan tidak sah.

DUN Rantau mempunyai seramai 20,926 orang pemilih berdaftar.

Daripada jumlah itu, 55.11 peratus atau 11,283 adalah pengundi Melayu, Cina (18.80 peratus atau 3,849), India (26.06 peratus atau 5,336) dan lain-lain (0.02 peratus atau empat).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!