Maqis rampas gelatin lembu dari China

Maqis Pulau Pinang merampas gelatin lembu dari China di Pelabuhan Dermaga Air Dalam Butterworth pada Isnin lalu.
Maqis Pulau Pinang merampas gelatin lembu dari China di Pelabuhan Dermaga Air Dalam Butterworth pada Isnin lalu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk gelatin lembu dari China di Pelabuhan Dermaga Air Dalam (DAD) Butterworth di sini pada Isnin lalu.

Pengarah Maqis Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh Pegawai Penguat kuasa Maqis mendapati sebanyak 3,000 kilogram (kg) gelatin lembu yang dianggarkan bernilai RM40,322.56 dibawa masuk tanpa permit import Maqis yang sah.

Menurutnya, perbuatan mengimport dagangan tanpa import permit Maqis yang sah adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), akta yang sama.

"Jika sabit kesalahan, pihak bertanggungjawab dengan barangan dagangan berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

"Kesemua dagangan tersebut ditahan untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Muhammad Ikram berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemeriksaan setiap keluaran pertanian yang masuk dalam negara bagi memastikan keluaran pertanian yang diimport mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Katanya, langkah itu bagi menjamin keselamatan makanan, bebas daripada perosak dan penyakit serta halal untuk dimakan oleh rakyat.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!