Perak catat 1,204 kes nahas jalan raya tempoh 11 hari Ramadan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

IPOH - Dalam tempoh 11 hari Ramadan, Perak mencatatkan 1,204 kes kemalangan jalan raya yang menunjukkan peningkatan kes sebanyak 16 peratus, dalam tempoh yang sama berbanding tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Azizan Hassan berkata, ia meningkat berbanding 1,039 kes, bagi tempoh yang sama Ramadan tahun lepas dan peningkatan tersebut berkemungkinan kerana orang ramai telah bebas bergerak tanpa sebarang sekatan, berbanding sebelum ini.

"Daripada jumlah itu, ia turut melibatkan 18 kes kemalangan maut selain 13 kes kecederaan parah, 44 kes kecederaan ringan manakala bakinya 1,129 kes tidak melibatkan kecederaan,” katanya ketika menjadi tetamu di program Eksklusif@PERAKfm ‘Pandu Cermat, Jiwa Selamat’ di radio Perak fm pada Khamis.

Ditanya mengenai langkah diambil dalam memastikan kesesakan luar biasa pada waktu kemuncak iaitu semasa berbuka puasa, beliau berkata, pihaknya sentiasa melakukan rondaan secara berkala dan bersedia untuk memberi bantuan kawalan lalu lintas di seluruh negeri Perak, sejak hari pertama Ramadan.

"Pihak JSPT telah menempatkan penugasan ‘point duty’, untuk mengawal dan melancarkan keadaan lalu lintas di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti berlakunya kesesakan tersebut.

"JSPT turut mengambil tindakan proaktif dengan menempatkan polis trafik di setiap lokasi bazar Ramadan yang menjadi tumpuan orang ramai, dan mempunyai kadar pengunjung yang tinggi bagi membuat rondaan, serta memastikan pemilik kenderaan yang pergi ke bazar meletakkan kenderaan di tempat yang betul agar tidak mengganggu lalu lintas,” tambah beliau.

Azizan turut menasihati pengguna supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya, bagi mengelakkan kemalangan jika mereka sentiasa berhati-hati dan tidak mementingkan diri sendiri.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!